KUALA LUMPUR – Status Perintah Kawalan Pergerakan akibat pandemik Covid-19 sebenarnya terus menjadi tanda tanya terutama kepada golongan penjaja dan peniaga kecil-kecilan.
Sebagai golongan yang diibaratkan ‘kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang’ itu mereka benar-benar bergantung harap kepada pendapatan harian.
Kini kerajaan juga telah mengeluarkan Perintah Pergerakan Kawalan yang telah memberi kesan kepada mereka kerana kehilangan pelanggan secara mendadak hari ini.
Seorang penjual putu mayam di Pasar Datuk Keramat yang ditemui MalaysiaGazette meluahkan perasaan bimbang, takut malah tidak pasti tentang apa akan berlaku selepas ini.
Sivakumar Marimuthu, 54, yang sudah berniaga makanan itu sejak lebih 10 tahun lepas di sekitar Kuala Lumpur seolah-olah putus harapan dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan walaupun akur.
“Saya bukan ahli perniagaan yang besar dan mendapat keuntungan berlipat ganda. Kegembiraan saya dan keluarga adalah apabila dapat menjual kesemua putu mayam, sememangnya seperti menang loteri bila boleh dapat keuntungan sehingga RM100 kadang-kadang RM150 sehari.
“Lebih bagus apabila mendapat tempahan majlis perkahwinan, keraian dan juga upacara sembahyang di kuil. Sekarang dengan wabak baru (Covid-19) yang saya sendiri tidak pandai menyebutnya, saya tidak dapat apa-apa lagi.
“Sekarang pula sudah ada perintah kawalan pergerakan, lagi susah kehidupan. Walaupun ini adalah hari pertama tetapi saya sudah merasa peritnya pagi-pagi lagi. Selalunya rutin saya, menghantar sejumlah putu maayam ke kuil dan gerai berdekatan.
“Sudah ada arahan penutupan kuil, saya ke Kuil Kortu Malai Pillayar di Pudu, lengang sahaja, yang tinggal hanya Tuhan Pillayar dalam kuil. Saya hanya berdoa sebelum datang ke sini (berniaga).
“Hari ini, daripada 20 kedai makan yang antaranya hanya warung kecil, hanya empat sahaja yang beli putu mayam. Itupun mereka sudah beritahu saya, jika dalam beberapa hari keadaan teruk mungkin tidak perlu hantar lagi.
“Bayangkan, jika saya hanya dapat kurang daripada RM80, bagaimana saya hendak sara hidup dan keluarga? Sebenarnya saya takut sangat. Hari ini laku sedikit, semua datang beli mungkin kerana semua duduk rumah, lepas-lepas ini tidak pasti lagi,” katanya.
Bagaimanapun Sivakumar akur memandangkan kesan pandemik yang berlaku itu bukan sahaja dirasai peniaga kecil sepertinya.
“Saya tidak boleh salahkan kerajaan apatah lagi hendak memohon apa-apa sebaliknya berterima kasih sangat kerana masih beri kebenaran serta kelonggaran kepada golongan peniaga kecil-kecilan seperti kami untuk berniaga.
“Makanan adalah asas kehidupan jadi perniagaan seperti ini pastinya ada permintaan, cuma status penyakit ini kita tidak pasti sehingga apa, rasa terlalu gelap walaupun sinar matahari begitu terang hari ini.
“Seluruh rakyat bimbang bagaimana untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi masih tidak stabil, tambah pula politik negara yang kadang-kadang turun naik sekarang musibah penyakit yang tiada ubat.
“Kami takut, bukan saya seorang tetapi semua yang ada di sini. Golongan peniaga di sini dan juga para pelanggan, semuanya takut, bimbang. Ramai beli puttu mayam dengan saya yang rata-ratanya Melayu. Kami semua mesra dan rapat.
“Rasanya pada masa ini, kita hanya mampu berdoa mengikut kepercayaan masing-masing kerana ketika masa susah begini, hanya tuhan sahajalah mampu beri petunjuk kepada kita, “ ujarnya.
Luahan peniaga putu mayam itu mungkin perasaan yang sama dihadapi oleh lebih ramai golongan berkenaan di seluruh negara gara-gara Covid-19 dan wajar mereka diberi bantuan kerajaan bagi meringankan beban.- MalaysiaGazette
Tak payah siarlah komen begini…be professional….u/p editor
Donald Trump has referred to the coronavirus as “the Chinese virus”.
Ia benar2 menyusahkan semua orang!