Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Aman Rabu (dua kiri) mendengar taklimat berhubung situasi semasa jangkitan penyakit Covid-19 ketika lawatan kerja ke Hospital Permai Johor Bahru hari ini.-Gambar BERNAMA.

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM160 juta, kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk disalurkan kepada 26 hospital di negara ini, bagi menangani gelombang kedua wabak COVID-19.

Sambil merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada doktor, jururawat, pegawai kesihatan dan semua pihak di KKM, yang bertungkus lumus tanpa henti selama sebulan setengah, Muhyiddin berkata peruntukan itu boleh digunakan, bagi pembelian aset perubatan dan aset bukan perubatan.

“Untuk membantu KKM melaksanakan program bagi menangani COVID-19 di seluruh negara, kita telah meluluskan lebih daripada RM259 juta untuk digunakan membeli ubat-ubatan, peralatan dan pelbagai lagi yang diperlukan.

“Ada lagi permohonan RM160 juta yang dikemukakan kepada Kementerian Kewangan. Saya akan beritahu Menteri Kewangan, supaya kita dapat luluskan dengan seberapa segera, kerana ini adalah suatu krisis yang agak serius dan tak boleh kita lengah-lengahkan,” katanya kepada Bernama dan RTM selepas mendengar taklimat mengenai usaha menangani kes COVID-19 di Johor, oleh Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu di Hospital Permai, di sini.

Katanya beliau menghargai sumbangan semua pihak di KKM dan percaya seluruh rakyat Malaysia juga terhutang budi, terhadap apa yang telah diusahakan oleh para doktor mahupun jururawat, pegawai perubatan dan tenaga di peringkat KKM, yang telah membantu dalam menangani COVID-19.

“Kita harap semangat mereka masih kukuh lagi,” katanya lagi.

Menurut Perdana Menteri, cara KKM membeli peralatan juga tidak mengikut cara biasa sebelum ini, iaitu menerusi tender tetapi dengan segera, supaya keperluan-keperluan hospital dan tempat di mana kes-kes wabak itu dirawat, dapat digunakan dengan seberapa segera.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin turut mengingatkan masyarakat, mengenai negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam dan dijangka berakhir 31 Mac ini.

“Perintah Kawalan Pergerakan sudah pun bermula dan nasihat masih lagi saya berikan, supaya tidak ada perhimpunan, sekolah ditutup, tinggal di rumah, jangan pergi ke mana-mana, sehingga keadaan sudah bertambah baik.

“Kita tetapkan tempoh 14 hari ini harus diberikan perhatian yang serius, kerana wabak ini masih menular. Kita tidak mahu sesiapapun menjadi mangsa kepada virus yang amat berbahaya, jadi seeloknya duduk di rumah,” kata Muhyiddin.

Meskipun terpaksa keluar untuk tujuan tertentu seperti membeli keperluan asas di pasar awam dan pasaraya atau membeli ubat-ubatan, masyarakat diminta supaya mengehadkan waktu di luar selain mengamalkan penjarakan (distancing).

Untuk mereka yang terpaksa bekerja di kilang-kilang dalam sektor yang dibenarkan beroperasi, mereka juga tertakluk dengan Prosedur Operasi Standard (SOP), yang telah dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Kita tidak mahu (masyarakat) ambil mudah. Kita berikan kerjasama sepenuhnya, supaya dapat mengelakkan wabak ini daripada menular.

“Baru tiga hari (sejak diumumkan Perintah Kawalan Pergerakan), kita lihat masih meningkat (jumlah kes), tetapi kalau kita betul ikut arahan seperti yang telah ditetapkan, tidak keluar ke mana-mana, kita harap ia akan reda dan boleh menurun.

“Itu sebab tempoh dua minggu ini ujian paling kritikal bagi seluruh rakyat Malaysia, tetapi kalau kita patuh dengan arahan mungkin macam negara China, dua bulan (negara) itu dapat kawal, padahal puncanya di situ,” kata Muhyiddin.

Ini adalah kerana masyarakat di sana tidak keluar dan mengikut arahan tidak keluar, memandangkan hukuman yang berat dikenakan bagi mereka yang tidak patuh arahan di China.

Justeru, rakyat Malaysia diharapkan dapat mendengar dan mematuhi arahan sebaiknya, dalam membendung penularan wabak itu di negara ini, kata Perdana Menteri.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Harap PM dapat kembalikan semula elaun kritikal untuk doktor dan jururawat yang telah dihentikan oleh Guan Eng.

  2. President Donald Trump was pressed for the second straight day on why he is calling the coronavirus the “Chinese virus”.

    Ia benar2 amat menyusahkan masyarakat global!

Comments are closed.