Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020) bagi memastikan risiko ekonomi akibat penularan wabak COVID-19 dapat ditangani dengan efektif berdasarkan strategi yang telah digariskan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan sangat prihatin terhadap kesan negatif akibat penularan wabak tersebut yang menjejaskan antara lain individu serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Menerusi PRE 2020, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah termasuk menyediakan beberapa tabung pembiayaan kewangan bagi individu dan syarikat PKS yang terkesan, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia bagi memastikan pasaran modal dan kewangan terus berfungsi secara telus dan teratur.

“Selain peruntukan untuk membantu PKS mengekalkan operasi perniagaan, melindungi pekerjaan dan menggalakkan pelaburan domestik, bank-bank tempatan juga turut mengambil langkah-langkah untuk menyokong individu dan syarikat PKS yang terkesan.

“Pelbagai bantuan khas, kemudahan pinjaman, kemudahan penyusunan dan penjadualan semula serta moratorium selama enam bulan untuk perniagaan, PKS dan individu telah diperuntukkan,” katanya.

Di samping itu, katanya, beberapa syarikat insurans dan pengendali takaful telah mengambil inisiatif bagi membantu meringankan beban kepada pemegang polisi mereka dengan memanjangkan faedah insurans bagi pencarum yang terkesan dengan COVID-19.

Beliau berkata, selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan juga mengambil maklum dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh semua pembayar cukai.

Oleh itu, katanya, beberapa langkah telah diambil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi memastikan pembayar cukai dapat mengatur semula urusan percukaian dan seterusnya meringankan kesulitan yang mereka hadapi.

Menurut Tengku Zafrul, Kementerian Kewangan dan agensi-agensi di bawahnya akan terus bekerjasama dengan sektor kewangan dan pelaburan bagi langkah-langkah seterusnya untuk membantu dan menyokong perniagaan dan isi rumah mengikut keperluan semasa.

PRE 2020 bernilai RM20 bilion diumumkan pada 27 Februari lepas dirangka bagi memastikan risiko ekonomi berikutan penularan wabak COVID-19 dapat ditangani.- BERNAMA