Peserta Ijtima Ulama Dunia termasuk dari Malaysia berkumpul di Sulawesi.

JAKARTA – Acara Ijtima of Asia 2020 di Indonesia yang dilaporkan bakal dihadiri ribuan jemaah tabligh, dipercayai turut dihadiri rakyat Malaysia.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata meskipun pihak kedutaan telah mengeluarkan larangan agar rakyat Malaysia tidak menghadiri program itu, dipercayai berpuluh-puluh orang dilaporkan sudah berada di sana.

“Belum ada jumlah tepat rakyat Malaysia yang menghadiri acara itu, kami  sedang berusaha mengesan mereka yang terbabit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berdasarkan notis konsular agar rakyat Malaysia yang berada di Indonesia mendaftar menerusi e-mel dengan kedutaan di [email protected] atau [email protected], dipercayai turut didaftar ialah beberapa individu yang menyertai acara itu.

Menurut sumber Bernama, sejumlah 83 rakyat Malaysia telah berada di Sulawesi untuk menyertai acara itu, yang turut dihadiri jemaah tabligh dari 48 negara lain.

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan pihak berkuasa Indonesia tidak mengeluarkan sebarang surat keizinan (permit) untuk acara itu yang dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 22 Mac, dan dalam proses berunding dengan pihak penganjur agar mereka bersurai.

Pada 27 Feb hingga 1 Mac lepas, dilaporkan lebih 10,000 orang menghadiri perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur yang kemudian ada antara pesertanya didapati positif COVID-19 dan telah menyumbang kepada peningkatan kes itu di Malaysia.

Pada 14 Mac lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu notis konsular melarang rakyat Malaysia untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan atau acara berskala besar di Indonesia susulan pandemik COVID-19, termasuk menghadiri acara perhimpunan itu.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast