Seorang pekerja hantar makanan membawa bungkusan makanan yang dibungkus untuk dihantar ke pelanggan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan berikutan jangkitan wabak Covid-19 koronavirus di McDonalds Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MAC 2020

WABAK Covid-19 benar-benar menjadi ujian asid kepada rakyat dan kerajaan. Wabak ini bukan sahaja mengancam kesihatan iaitu nyawa rakyat tetapi turut mengancam ekosistem ekonomi, perpaduan, kekeluargaan, keselamatan dan pendidikan negara.

Strategi 1: Membenteras Covid-19 Bersepadu

Agensi Peneraju: MKN & KKM

Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memastikan semua aset negara berkaitan kesihatan yang ada dipelbagai kementerian, agensi dan institusi dikenalpasti dan diselaras secara sistematik.

JKR dan ATM serta agensi berkemahiran lain perlu bersiap siaga untuk membina hospital dalam tempoh 1 minggu atau setidak-tidaknya bangunan atau khemah sementara yang lengkap untuk menempatkan pesakit.

Syarikat-syarikat peralatan kesihatan (medical devices) perlu bersiap sedia membekalkan ubat dan peralatan ke seluruh pelusuk negara apabila diperlukan.

Hospital swasta, fakulti perubatan dan kejururawatan di universiti awam dan swasta perlu sentiasa bersedia membekalkan bantuan peralatan dan tenaga.

Laporan berkaitan perkembangan terkini berkaitan dan wabak perlu terus dikongsikan dengan rakyat melalui semua saluran media rasmi.

PDRM turut perlu meningkatkan ketegasan kepada anggota masyarakat yang ingkar mematuhi arahan. Penambahan anggota menerusi kerjasama dengan agensi bawah KDN seperti Jabatan Imigresen dan Kastam boleh digerakkan jika perlu.

ATM mungkin juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan penguatkuasaan sekiranya kekuatan bawah KDN telah dimanfaatkan sebaiknya. Dengan kata lain KKM perlu bekerjasama rapat dengan MKN dalam menyelaras tindakan bersepadu ini.

Kunci utama kejayaan misi bersepadu ini ialah kemampuan MKN dan KKM di mana kecekapan dan profesionalisma MKN dan KKM dalam merancang, menyelaras dan melaksana setiap perancangan.

Di masa sama negara dan rakyat perlu bersiap sedia dengan situasi lebih buruk dan sentiasa bersiap sedia menghadapi ‘worse case scenario.’

Strategi 2: Memperkukuh Moral Petugas Kesihatan & Keselamatan

Agensi Peneraju: JKM @ Kementerian Wanita & Keluarga, KKM dan KDN

Sokongan moral dan keperluan bersesuaian perlu terus diberikan kepada pasukan perkhidmatan kesihatan dan keselamatan negara yang bertugas.

Sekiranya wabak ini terus meningkat, mereka akan bekerja untuk tempoh masa lebih panjang. Pasti mereka ini mempunyai kebimbangan berkaitan keluarga yang ditinggalkan di rumah.

Sehubungan dengan itu, JKM perlu bersiap siaga dan bekerjasama dengan rapat dengan MKN, KKM dan KDN dalam usaha menyalurkan bantuan kepada para petugas dan ahli keluarga terdekat mereka.

Sewajarnya fikiran mereka tidak dibebani dengan masalah keselamatan ahli keluarga yang ditinggalkan untuk tempoh lama di rumah, isu pinjaman seperti perumahan dan kereta yang mungkin berisiko kerana ada pasangan mereka yang diberhentikan kerja atau diarah mengambil cuti tanpa gaji yang panjang.

Begitu juga dengan hutang pendidikan hatta urusan makan dan minum serta keselamatan anak dan ahli keluarga mereka yang ditinggalkan di rumah.

JKM perlu memiliki senarai lengkap mereka yang bertugas dan menyusun atur langkah penyaluran bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Strategi 3: Bantuan Makanan Rakyat @ Bank Makanan Negara

Agensi Peneraju: Kementerian Kewangan; Jabatan Kebajikan Masyarakat @ Kementerian Wanita & Keluarga; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pertanian & Industri Makanan

Kementerian Kewangan sewajarnya melihat secara serius akan kesan arahan perintah menghadkan pergerakan ini kerana ramai rakyat di luar sana berpendapatan rendah pasti terkesan dengan teruk.

Ramai di antara mereka mungkin telah dibuang kerja, atau jika bekerja mereka adalah golongan yang dibayar dengan gaji minimum, atau bekerja dengan gaji hari, atau berniaga kecil-kecilan di pasar-pasar, di tepi jalan yang boleh diumpamakan kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Pasti krisis yang melanda ini amat memberi kesan buruk kepada mereka semua.

Untuk itu Kementerian Kewangan mohon segerakan bantuan sara hidup. Keprihatinan Kementerian Kewangan amat ditagih oleh rakyat. Mereka tidak bicara kemewahan atau keselesaan tetapi cukup sekadar kelangsungan hidup iaitu ada makanan mengalas perut.

JKM dan agensi Zakat keluarkanlah dana tambahan untuk membantu mereka yang sedang bergelut dengan krisis kewangan untuk meneruskan kehidupan.

Dua agensi ini dan agensi berkaitan perlu mengambil langkah proaktif dan terancang dalam membina kerjasama sesama mereka dalam mengenalpasti dan membantu rakyat yang memerlukan.

Begitu juga dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna perlu merangka dan memanggil semua pasaraya-pasaraya besar, pengilang-pengilang makanan untuk memberi sumbangan atau membekalkan makanan untuk tabung makanan negara pada harga terendah. Bank makanan negara perlu dibentuk segera.

Dapatkan data dari agensi berkaitan dan bekalkan makanan khususnya kepada keluarga B40 dan sebahagian M40 khususnya 20% terbawah M40 yang turut terkesan.

Di masa yang sama Kementerian Pertanian & Industri Makanan perlu memastikan bekalan makanan negara dirancang kecukupannya dengan tepat.

Bank makanan negara perlu ditingkatkan pada tahap simpanan selamat terutama sekali sekiranya wabak ini berlarutan untuk tempoh beberapa bulan.

Kementerian wajar melihat sumber pengeluaran dalam negara dan bekalan dari luar negara dengan mengatur rancangan secara komprehensif. Usaha secara sistematik amat perlu demi memastikan krisis lebih buruk iaitu kelaparan atau kebuluran tidak berlaku.

Strategi 5: Melancar Pakej Rangsangan Ekonomi

Peneraju: Kementerian Kewangan; Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri; Kementerian Usahawan Agro & Komoditi; Kementerian Pelancongan, Seni & Budaya; Kementerian Pembangunan Keusahawanan & Koperasi; lain-lain kementerian berkaitan

Kerajaan perlu menyatakan dengan jelas akan pakej rangsangan ekonomi khususnya buat perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Kerajaan perlu memberi keutamaan kepada kumpulan ini kerana mereka penyumbang utama kepada pembentukan peluang pekerjaan khususnya untul golongan B40 dan M40.

Kegagalan kerajaan menyuntik dana rangsangan ekonomi yang menepati sasaran akan melumpuhkan ekonomi negara dan akhirnya membawa negara ke kancah krisis sosial yang teruk.

Pendekatan memberi dana khas untuk membantu GLCs tertentu sahaja perlu dikaji semula. Telah tiba masanya pakej rangsangan ekonomi dibebaskan dari amalan yang selama ini dianggap pakej menyelamatkan syarikat kroni.

Pakej rangsangan ini perlu disusuli dengan dasar dan perintah dari kerajaan kepada institusi kewangan agar mereka tidak menuntut hutang dalam tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan contohnya.

Institusi kewangan seperti bank, syarikat utiliti seperti tenaga, telekomunikasi dan air serta agensi pemberi pinjaman perniagaan di bawah kementerian berkaitan perlu diarahkan agar mengambil pendekatan membantu para usahawan mahupun peminjam persendirian seperti pinjaman perumahan, kereta dan pendidikan.

Dengan kata lain semua kementerian terlibat khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi; dan Kementerian Usahawan Pertanian & Komoditi perlu memastikan mereka membantu dan memudahkan usahawan untuk PKS kembali berdiri dan bersaing secara kompetitif.

Ambillah iktibar atas krisis ini untuk membantu usahawan PKS mengembangkan perniagaan atau pasaran mereka ke luar negara. Untuk itu, pastinya Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri boleh menjuarai inisiatif ini yang mana di masa yang sama terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hub utama pelaburan antarabangsa.

Strategi 6: Semarak Uniti Rakyat

Peneraju: Kementerian Perpaduan Nasional

Covid-19 sewajarnya membawa rakyat negara kepada titik uniti. Cukup-cukuplah rakyat berbalah atas sebab perselisihan pegangan politik.

Pemimpin parti politik perlu insaflah. Tiada daya dan upaya kalian untuk memulihkan negara ini atas nama politik kepartian.

Sekarang masanya seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa bersatu padu dan bersama-sama mendepani wabak pembunuh ini.

Kementerian Perpaduan Nasional wajar memanfaatkan krisis ini untuk menyatukan rakyat.

Angkatlah kisah para doktor dan jururawat serta pasukan keselamatan yang gigih bertugas tanpa mengambil kisah isu bangsa dan agama.

Sesungguhnya wabak ini tidak kenal mangsa dan kita tidak mahu ada lagi rakyat negara ini terkorban angkara Covid-19

Semoga Kementerian Perpaduan Nasional mengatur program dan menggunakan kaedah komunikasi secara strategik iaitu di media utama dan sosial.

Marilah rakyat Malaysia, tinggalkan perbezaan politik dan tinggalkan pemimpin politik yang terus bermain politik dalam keadaan yang amat genting ini.

Ingatlah nyawa kita, ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan seluruh rakyat Malaysia adalah lebih berharga dari permainan politik murahan sesetengah ahli politik.

Strategi 7: Bersama Membina Semula Malaysia

Peneraju: Setiap Rakyat Malaysia

Tidak mampu negara mendepani wabak ini tanpa sokongan setiap rakyat Malaysia.

Aspek kesihatan: siapa juga diri kita, pastikan kita sentiasa menjaga kebersihan. Jangan sesekali kita secara sedar menyebarkan wabak ini kepada orang lain.

Aspek Kebajikan: setiap rakyat Malaysia, kementerian dan agensi berkaitan perlu terus komited membantu rakyat yang teruk terkesan khususnya kumpulan B40.

Aspek Ekonomi: setiap usahawan dan kementerian serta agensi berkaitan perlu sama-sama jujur dan ikhlas dalam misi memulihkan ekonomi negara.

Berilah bantuan kepada peniaga yang benar-benar memerlukan dan kepada peniaga pula jadilah warga peniaga yang jujur agar lebih banyak pihak yang benar-benar dalam kesukaran dapat dibantu.

Pastikanlah usaha pemulihan ekonomi tidak ditumpukan kepada mereka yang terpilih sahaja.

Kesimpulan

7 strategi di atas disarankan demi membantu negara berdepan dengan krisis Covid-19 . Usaha memerangi wabak ini bukan tanggungjawab MKN dan KKM sahaja tetapi semua pihak.

Setiap kementerian, agensi kerajaan dan pemain utama industri seperti institusi kewangan, utiliti, usahawan dan rakyat perlu bergerak bersama secara sistematik dan bersepadu.

Mudah-mudahan Allah makbul doa seluruh rakyat Malaysia dan mengembalikan keamanan buat Malaysia dan dunia.

Ingatlah wahai pemimpin bahawasanya gagal merancang itu sebenarnya bermakna merancang untuk gagal.

Bersatulah seluruh rakyat Malaysia, bersama kita selamatkan negara.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast