Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Sebanyak 9,185 unit rumah PPR di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diberi pengecualian sewa untuk satu bulan bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PPR yang terlibat ialah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kg Hassan Hulu Selangor, PPR Ladang Siliau Port Dickson, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang, PPR Kota Bahru.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin juga menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan budi bicara masing-masing untuk memberi pengecualian sewa premis kepada peniaga kecil yang terjejas pendapatan akibat terpaksa menutup perniagaan ekoran pelaksanaan PKP.

Selain itu, PBT juga digesa untuk memastikan semua pasar raya dan pasar raya besar, kedai runcit mengamalkan penjarakan sosial, menyediakan pembasmi kuman pada laluan masuk dan keluar serta kerap membersihkan pemegang troli dan bakul barangan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Covid-19.

Kementerian juga, katanya, akan berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memantau dan memastikan bahawa pusat jagaan warga emas swasta mempunyai bekalan bahan keperluan yang mencukupi sepanjang tempoh PKP.

”Keputusan ini dibuat untuk meringankan beban rakyat yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Rakyat diminta duduk di rumah dan jaga kesihatan diri serta keluarga sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast