Orang kurang siuman kelihatan berbogel pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 23 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 50an bukan sahaja melanggar perintah kawalan pergerakan, malah bertindak menanggalkan pakaian sambil duduk di bahu jalan di Chow Kit di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, wanita tersebut pada mulanya dikesan sedang berlegar-legar oleh krew Malaysia Gazette yang sedang membuat liputan di kawasan berhampiran.

Dia yang mungkin sedang khayal di bawah pengaruh dadah atau tidak siuman tiba-tiba bercakap sendirian sebelum berbogel tanpa seurat benang.

Usaha krew Malaysia Gazette yang berulang kali memintanya kembali mengenakan pakaian gagal sebaliknya wanita itu mula kelihatan semakin agresif dan bercakap dalam bahasa yang tidak difahami.

Dia kemudian bangun dan beredar sebelum menghilangkan diri di celah-celah bangunan rumah kedai berhampiran. – Malaysia Gazette