JEMAAH tabligh menjadi tumpuan seluruh negara apabila mereka dikatakan menjadi punca peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang dijangkiti virus Covid-19. Apatah lagi sehingga kini, seramai 986 jemaah mereka telah disahkan positif kerananya.
Segalanya bermula apabila 14,500 jemaah ini telah menghadiri Majlis Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.
Untuk rekod, semalam sahaja terdapat 106 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,624 kes. Berdasarkan siasatan awal, daripada 106 kes baharu yang dilaporkan itu, sebanyak 43 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling.
Malah majoriti daripada 16 pesakit yang meninggal dunia kerana virus tersebut juga sehingga hari ini ada kaitan dengan kluster tersebut.
Persoalannya, wajarkah mereka terus-terusan menjadi ‘punching bag’ bila bercakap mengenai penularan wabak ini?
Kementerian Kesihatan sendiri menegaskan, jemaah tabligh tidak seharusnya disalahkan dan dianggap sebagai punca penularan wabak Covid-19 di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rakyat Malaysia keseluruhannya tidak mendiskrimasi golongan itu.
Sebaliknya, jelasnya, perkara utama sekarang adalah orang ramai membantu mengesan kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kenalan mereka supaya dapat dirawat.
“Janganlah kita persalahkan jemaah tabligh. Janganlah kita mendiskriminasikan jemaah tabligh. Janganlah kita stigmakan jemaah tabligh,” katanya.
Satu perkara yang kita patut puji di sebalik semua tanggapan negatif terhadap golongan tabligh ini ialah bagaimana pimpinan mereka bersungguh-sungguh berusaha memastikan jemaah mereka hadir untuk mendapatkan pemeriksaan di hospital seperti mana yang diarahkan oleh kerajaan.
Sejak bermulanya pengesahan kes pertama yang dikaitkan dengan ijtimak tabligh di Brunei, mereka telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan telah menggesa semua peserta terlibat untuk menghubungi pejabat kesihatan daerah masing-masing.
Menjadikan Masjid Sri Petaling sebagai pusat gerakan, usaha mencari dan mengesan ahli jemaah mereka diteruskan di peringkat negeri-negeri yang telah dibahagikan kepada 28 markas semuanya.
Kesemua markas ini pula dibahagi-bahagikan kepada halaqah-halaqah atau kelompok pertemuan kecil yang berjumlah sekitar 1,100 halaqah keseluruhannya. Setiap halaqah lazimnya mempunya 15-20 masjid dan surau di bawah naungan masing-masing.
Untuk rekod, antara pelajaran pertama yang diterapkan dalam jemaah tabligh apabila mereka mula berkecimpung dalam gerakan ini ialah konsep taat kepada keputusan mesyuarat.
Justeru, apabila mesyuarat pimpinan di Masjid Sri Petaling telah memutuskan supaya semua peserta memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, mereka telah mengerahkan seluruh 28 markas tadi untuk menggerakkan kesemua halaqah masing-masing.
Tujuannya supaya setiap peserta ijtimak tempoh hari mematuhi keputusan mesyuarat.
Setiap peserta dari setiap masjid dan surau direkod nama mereka oleh setiap halaqah. Nama-nama tersebut dihimpunkan oleh markas masing-masing sebelum disalurkan kepada Masjid Sri Petaling.
Sebab itu, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila sehingga kini,sudah 13,000 daripada 14,500 orang jemaah tabligh tadi telah tampil untuk dibuat saringan kesihatan dengan 6,700 sampel mereka telah diambil oleh pihak KKM.
Dalam erti kata lain, biar apapun yang dilabel terhadap jemaah tabligh ini, pujian harus diberi kerana mereka bersungguh-sungguh mematuhi arahan kerajaan dan berusaha sedaya upaya agar kesemua jemaah mereka itu tampil untuk diperiksa.
Mungkin kedegilan beberapa ahli Jemaah tabligh yang pergi menyertai Ijtima Dunia 2020 Zon Asia di Sulawesi Indonesia baru-baru ini menimbulkan lagi kemarahan masyarakat namun perlu diingat, mereka ini bukanlah dari jemaah tabligh Masjid Sri Petaling itu.
Itu bab tabligh, sekarang ini bab kita pula.
Sejauh manakah kita pula sebagai masyarakat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang diperintahkan kerajaan?
Tahukah anda, sehingga kini sebanyak 695 laporan polis dibuat, kertas siasatan terhadap 46 kes telah dibuka dan 28 orang telah ditangkap berhubung perkara itu!
Kalau betul jemaah tabligh punca merebaknya Covid-19, apa bezanya kita?
Perbuatan kita melanggar PKP ini pun secara langsung turut menyumbang penyebaran virus ini!
Terbaru terdapat pula ‘trend’ rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini, ingin kembali ke bandar-bandar besar!
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, walaupun kesesakan di bandar ketika ini semakin berkurang dan jalan raya semakin lengang dengan kadar pematuhan yang tinggi itu hasil kerjasama bersepadu yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan, namun ‘trend’ itu telah menimbulkan kebimbangan.
“Telah mula menunjukkan trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini, ingin kembali pulang ke bandar besar untuk kembali bekerja dan saya harap ia tidak dilakukan sama sekali seperti yang telah dinasihatkan sebelum ini. Terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” tegasnya.
Ismail Sabri berkata, bagi membendung perkara itu, polis telah mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara dan mereka yang berkenaan akan dinasihatkan pulang semula ke kampung halaman masing-masing sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan itu berakhir.
Beliau berkata tindakan undang-undang mungkin akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan dan nasihat polis.
“Pihak polis mungkin akan mengubah cara mereka bukan setakat nasihat tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil kepada mereka yang menghalang penjawat awam dan juga masih berdegil dan gagal mematuhi arahan atau nasihat yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.
Kesimpulannya beginilah.
Jangan terlalu taksub menyalahkan orang lain. Lihat juga kelemahan kita sendiri. Dalam hal ini, jangan kita begitu bersungguh menyalahkan jemaah tabligh sedangkan kita sendiri pun padaa masa yang sama gagal mematuhi arahan kerajaan.
Pepatah orang tua-tua ada mengatakan, mengata dulang paku serpih, mengata orang kita yang lebih.
Untuk menghentikan penularan wabak ini, ia memerlukan kerjasama semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kepercayaan, ras mahupun keturunan.
Tiada pengecualian!
Ingat, dipenghujungnya, kita jaga kita! – Malaysia Gazette
Kerajaan terdahulu iaitu KERAjaan PeeH juga harus disalahkan kerana tidak menutup pintu keluar masuk lebih awal kerana sayangkan pelancong-pelancong China… Kita jugak tahu pelancong-pelancong China ini tak semuanya akan keluar dari Tanah Melayu ini… puiiii 🙂
Bayang kanlah apa akan jadi sekiranya pihak geng reformasi mengadakan demonstrasi di dataran akibat tidak kepuashatisan terhadap kerajaan pintu belakang. Bagaimana kerajaan yang sedia ada untuk mengesan mereka-mereka untuk di buat Ujian Covid-19 yang tanpa segala maklumat data-data pendemo. Mungkin kita akan menjadi seperti Itali. Syukur perkara itu tidak terjadi walaupun telah ada usaha untuk mengerakkan demostrasi seperti Fad dan Biga.