SHAH ALAM – Waktu operasi jualan makanan hingga pukul 12 tengah malam menyebabkan orang ramai masih berkeliaran pada malam hari ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mencadangkan tempoh penjualan makanan dihadkan bagi mengurangkan pergerakan orang ramai selepas pukul 7 malam.
“Sekarang kita membenarkan tempoh penjualan makanan mulai 7 pagi hingga 12 malam.
“Mungkin rasanya kita kena lihat semula tempoh itu, bagi saya adalah terlampau panjang sehingga dibuka sampai pukul 12 malam.
“Kalau kurangkan lagi seperti beberapa negeri bukan sahaja Selangor melaksanakan PKP penjualan makanan 7 pagi hingga 7 malam, ia patut dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas melaksanakan Op Covid-19 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam ini.
Polis mengadakan sembilan hingga 11 sekatan jalan raya di Shah Alam dan sekalan jalan raya sepanjang masa dilakukan di tiga lokasi tetap setiap hari.
Menurut Baharudin, jumlah kenderaan di Jalan Sungai Rasau di sana masih banyak sehingga pihaknya terpaksa membuka dua lorong untuk melakukan sekatan jalan raya.
Sementara itu, Baharudin meminta orang ramai mematuhi PKP dengan duduk di rumah.
Tambah beliau, polis akan terus menasihati orang ramai supaya terus mematuhi peraturan PKP seperti yang disarankan kerajaan dan pihak keselamatan. – MalaysiaGazette