Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyerahkan bantuan makanan kepada 'frontliner' pada hari kesembilan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Hospital Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 26 MAC 2020

SHAH ALAM – Sejak Peritah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu dan kini dilanjutkan pula sehingga 14 April depan, sudah pasti banyak pihak terkesan dengan langkah itu.

Dengan jumlah yang positif wabak Covid-19 semakin meningkat ditambah pula angka kematian kini mencecah 21 kes, sudah pasti petugas perubatan antara barisan hadapan yang paling sibuk hingga tidak cukup rehat.

Sebagai menghargai pengorbanan barisan hadapan khususnya doktor, jururawat, pembantu perubatan dan kakitangan hospital serta klinik kesihatan, pelbagai sumbangan diagihkan khususnya makanan dan minuman.

Kali ini sumbangan itu disediakan oleh UMNO Bahagian Shah Alam di mana sebanyak 250 bungkusan makanan dan minuman dibekalkan setiap hari kepada sepanjang tempoh PKP.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari, sumbangan itu sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa khususnya akibat jangkitan wabak Covid-19.

“Inisiatif kami sebagai menghargai jasa petugas-petugas barisan hadapan yang mengorbankan masa bersama keluarga, ada yang tak boleh jumpa anak isteri berhari-hari, tidur di hospital.

“Malah nyawa mereka juga terancam kerana terdedah dengan virus Covid-19 ini kerana ada kes doktor dan jururawatq pun kena jangkitan wabak ini.

“Kita nak beri semangat dan motivasi agar petugas-petugas ini terus cekal menghadapi malapetaka hebat dalam sejarah negara kita,” katanya ketika ditemui di lobi Hospital Shah Alam, di sini, hari ini.

Pemberian bantuan makanan minuman daripada UMNO Bahagian Shah Alam itu membabitkan Hospital Shah Alam dan Klinik Kesihatan Seksyen 7, di sini.

Dalam pada itu, UMNO Shah Alam katanya turut menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang terputus bekalan barangan keperluan kerana hilang punca pencarian.

“Sebelum ini kita ada beri bekalan barang dapur sedikit kepada beberapa penjaja-penjaja kecil yang jual kuih tepi jalan, bawa grab, teksi yang dapat kita bantu sikit.

“Kita akan berusaha lagi untuk mencari bantuan-bantuan untuk masyarakat khususnya dalam kawasan Shah Alam ini,” katanya.

Katanya lagi, bagi golongan yang tidak berkemampuan pula, pihaknya sedia menyalurkan bantuan terus ke rumah-rumah mereka terbabit.

“Anda boleh menghubungi saya terus atau pegawai saya atau boleh layari Facebook saya Azhari Shaari.

“Mana yang perlu kita hantar ke rumah melalui wakil atau saya sendiri boleh hantar,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk di Shah Alam agak mematuhi arahan kerajaan untuk berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh PKP ini.

“Saya ingin beritahu masyarakat, khususnya di Shah Alam, stay at home, ikut arahan kerajaan.

“Tak perlu keluar, kalau keluar pun jangan ramai-ramai, jangan bawa anak bini, bahaya dan boleh terdedah kepada wabak ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette