Orang ramai perlu beratur mengikut jarak sosial sebelum masuk ke Pasar Chow Kit semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke- 9 bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Jalan Raja Boat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April ini, polis mengetatkan kunjungan di Pasar Jalan Raja Bot mulai hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata, beberapa jalan menuju ke Pasar Jalan Raja Bot (Pasar Chow Kit) akan ditutup untuk mengawal lalu lintas.

Antara jalan yang ditutup ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Abdullah hingga Jalan Raja Alang, Jalan Raja Abdullah hingga Jalan Raja Bot, Lorong Raja Bot, Lorong Haji Hussein dan Lorong Haji Hussein 1.

Laluan masuk ke pasar adalah melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman dan jalan keluar ialah melalui Jalan Raja Alang,

Menurut beliau, hanya seorang ahli keluarga sahaja dibenarkan membeli barang keperluan di pasar.

Semua pengunjung diminta melakukan penjarakkan sosial satu meter, kerap basuh tangan dan memakai penutup muka dan hidung.

 

Kemasukan orang ramai di Pasar Chow Kit dihadkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan masuk hari ke- 9 bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Jalan Raja Boat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2020

Sementara itu, MalaysiaGazette yang turut serta dalam operasi polis di Pasar Chow Kit mendapati keadaan di dalam pasar itu lengang memandangkan jumlah pembeli dibenarkan masuk telah dihadkan.

Setiap orang hanya dibenarkan berada di dalam pasar antara 10 minit hingga 15 minit sahaja.

Arahan itu dibuat memandangkan terlalu ramai yang beratur di luar pasar untuk membeli barangan keperluan.

Kesesakan lalu lintas dilaporkan berlaku di semua jalan masuk ke pasar berkenaan.

Operasi itu turut disertai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.- MalaysiaGazette