KUALA LUMPUR – Penghuni-penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikecualikan pembayaran sewa daripada sebulan kepada enam bulan dengan kos sebanyak RM3 juta ditanggung oleh kerajaan.
Pengecualian ini bermula mulai April hingga September 2020.
Pengecualian pembayaran sewa ini melibatkan 3,636 unit rumah PPR disewa atau transit di bawah pengurusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penangguhan pembayaran ini melibatkan kos RM5.7 juta bagi 4,649 unit rumah.
Manakala bagi perumahan awam pula, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memberi pengecualian sama yang
memanfaatkan lebih 40,000 penyewa.
”Saya menyeru kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan lain supaya memberikan pengecualian yang sama bagi meringankan beban penghuni PPR di negeri masing-masing,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat di sini.
Tambahnya, kerajaan juga bersetuju memberikan pengecualian sewaan selama enam bulan untuk semua premis milik Kerajaan Persekutuan seperti kantin sekolah, taska, kafeteria, kedai serbaneka dan lain-lain, termasuk semua premis milik agensi dan badan berkanun Kerajaan Persekutuan.
Perkara sama juga digesa dilakukan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). – MalaysiaGazette