Peruntukan RM250 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam disambut dengan penuh kesyukuran oleh setiap lapisan masyarakat.
Ada yang bersorak gembira, ada yang menangis teresak-esak kerana terharu atas keprihatinan kerajaan. Sewajarnya seluruh rakyat wajar mengucapkan jutaan terima kasih kepada PM dan Kerajaan Malaysia.
RM128 bilion untuk kebajikan rakyat dalam kelompok B40 dan M40. Alhamdulillah, majoriti rakyat dibela. Walaupun ada segelintir rakyat khususnya yang sedikit berkemampuan tidak memperolehi apa-apa secara terus dari pakej ini, pastinya turut bersyukur kerana rakyat yang terhimpit teruk telah terbela.
RM100 bilion pula untuk menyokong perniagaan dan industri PKS pasti melegakan ribuan syarikat. Bukan mudah untuk bertahan dalam dunia perniagaan yang begitu mencabar hari ini. Pastinya peruntukan ini mampu memberi ruang kepada sektor perniagaan negara bernafas dan berkembang.
Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan sektor perniagaan amat kritikal kepada negara khususnya dalam memastikan peluang pekerjaan dapat dikekalkan dan akhirnya dikembangkan.
Sebagai sebuah kerajaan, pastinya akan berasa gembira apabila dapat menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat dan bukan sebaliknya. Adalah sangat tidak bertanggungjawab sebuah kerajaan itu apabila memusnahkan peluang pekerjaan rakyatnya tanpa menggantikannya dengan peluang pekerjaan tang lebih baik.
RM2 bilion pula untuk memperkukuh ekonomi negara di samping RM20 bilion yang telah diluluskan sebelum ini diharap dapat mengeluarkan Malaysia atau setudal-tidaknya mengurangkan kesan kelembapan ekonomi.
Benar, ekonomi Malaysia yang bersifat terbuka banyak dipengaruhi oleh ekonomi dunia, ini tidak bermakna usaha atau inisiatif untuk memastikan ekonomi domestik terus disokong dan dikembangkan tidak perlu.
Cabaran Terbesar
RM250 bilion adalah jumlah yang besar. Peruntukan besar ini pastinya mengundang berbagai cabaran buat kerajaan dalam memastikan objektif yang disasarkan tercapai.
Cabaran terbesar kerajaan adalah memastikan tiada ketirisan berlaku walau 1 sen sekalipun. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan sekiranya semua yang terlibat bersungguh-sungguh mahu melakukannya.
Kerajaan perlu berusaha keras dalam memastikan pakej rangsangan ekonomi ini tidak diakhirnya dirumuskan oleh rakyat sebagai pakej menyelamatkan kroni dan keluarga akan mereka yang dekat dengan tampuk kuasa.
Pastikan wang yang disalurkan tidak diambil sewenang-wenangnya oleh agensi atau pihak tertentu atas nama yuran proses dan sebagainya. Sewajarnya setiap rakyat hatta yang tinggal di pendalaman Sabah mahupun Sarawak atau di perumahan PPR tidak akan kurang jumlah bantuan yang diterima walau 1 sen sekalipun.
Jangan izinkan peratus tertentu masuk ke saku-saku mereka yang tidak amanah. Pastikan mereka yang tidak amanah dikenakan hukuman sekeras-kerasnya. Mereka pengkhianat rakyat, kerajaan dan negara.
Kerajaan, ambillah peluang ini untuk membetulkan segala kepincangan yang berlaku dalam sistem tadbir urus negara kita.
Jangan beri ruang pakej rangsangan ini menjadi medan orang atau pihak tertentu meraih kuasa dan populariti murahan, menindas mereka yang tidak sehaluan dan sebagainya.
Gunakan jentera kerajaan iaitu agensi-agensi kerajaan sebagai medium penyaluran bantuan berbanding individu sebagai perantara. Santunu setiap rakyat walaupun mereka berbeza pandangan politik dengan kerajaan. Tunjukkan jiwa besar kalian sekiranya benar kalian berpegang kepada prinsip daei rakyat untuk rakyat.
Untuk memastikan agihan bantuan telus, tepat dan benar. Kerajaan wajar membangunkan satu sistem atau aplikasi atau memperkukuh sistem sedia ada yang boleh memantau setiap sen yang disalurkan kepada rakyat dan pemain industri.
Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tolonglah ambil peluang ini untuk selamatkan negara dari terus terjerumus dalam kancah amalan rasuah, rompakan di siang hari dan penindasan terang-terangan mahupun tersembunyi.
Selamatkanlah negara ini, belalah maruah bangsa Melayu dan agama kita Islam dan nama baik seluruh rakyat Malaysia. Ingatlah pemimpin yang baik akan sentiasa dalam doa rakyatnya.
Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin , yakinlah dalam melangkah dan membina semula negara ini. Ingatlah bahawasanya rakyat pasti akan bersama kerajaan yang peduli rakyat, dan rakyat tidak akan peduli kerajaan yang tidak pedulikan mereka.
Usaha dan kesungguhan kalian dan seluruh rakyat negara ini akan menjadikan Malaysia kembali aman makmur, maju dan bersih dari rasuah.
Mudah-mudahan Allah akan sentiasa bersama kita dan merahmati negara kita Malaysia.
— Prof. Dr. Haim Hilman, Profesor Pengurusan Strategik di Universiti Utara Malaysia