KUALA LUMPUR – Dana Bantuan Kemanusiaan Covid-19 yang dilancarkan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) menyasarkan kutipan kira-kira RM1 juta.

Dana itu yang ditubuhkan dengan kerjasama tujuh persatuan dan lebih 100 syarikat perkayuan itu, setakat ini mengumpul sebanyak RM896,550.

Menurut Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, ia sebagai langkah meringankan beban kerajaan bagi membendung penularan wabak penyakit Covid-19.

Beliau menjelaskan, sumbangan yang mendapat pengecualian cukai itu diletakkan dalam tabung khas bawah MTC atas nasihat kementeriannya untuk disalurkan kepada Kementerian Kesihatan atau pasukan barisan hadapan.

Katanya, untuk peringkat pertama pelancaran dana itu, MTC membuat sumbangan sebanyak RM500,000 kepada Tabung Covid-19 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“MTC akan teruskan kempen kutipan dana ini sehingga mencapai sasaran RM1 juta.

“Saya bagi pihak kementerian, mengucapkan terima kasih kepada MTC dan semua persatuan serta syarikat perkayuan yang tampil dengan cepat memberi sumbangan.

“Lebih 100 syarikat perkayuan dan tujuh persatuan menunjukkan sikap prihatin membantu barisan hadapan dan golongan terjejas walaupun perniagaan mereka terutama industri kecil dan sederhana (IKS) turut terkesan dengan wabak Covid-19 ini,” katanya dalam kenyataan kepada media.

Kata Dr. Khairuddin, lebih 30 syarikat yang menyumbang adalah dari sektor perabot dan 71 syarikat dari sektor perkayuan yang lain.

Jumlah kutipan dari persatuan perkayuan yang berjumlah RM521,700 adalah sumbangan dari Majlis Kayu Kumai dan Tanggam Malaysia (MWMJC) RM150,000, diikuti Majlis Perabot Malaysia (MFC) (RM121,700), Persatuan Perindustrian Kayu-Kayan Malaysia (MWIA) (RM100,000), dan Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) (RM50,000).

Persatuan Pengeksport Kayu Malaysia (TEAM) menyumbangkan RM50,000, manakala Persatuan Kayu Malaysia (MTA) RM50,000 dan selebihnya RM123,850 disumbangkan oleh lebih dari 100 syarikat perkayuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.