Kontraktor pembersihan kelihatan membuang sampah kedalam lori sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di sekitar Pandamaran, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 MAC 2020

KLANG – Ketika masyarakat sedang nyenyak tidur di ulit mimpi, mereka sudah bangun seawal pukul 2 pagi untuk memulakan kerja syif bermula seawal pukul 3 pagi.

Demi sesuap nasi mencari rezeki, kesejukan bayu pagi diredah bagi menyara kehidupan keluarga walaupun akan berdepan bau busuk dari tong sampah yang sudah menjadi kebiasaan.

Jika sampah-sarap pasti dipandang jijik dan kotor apatah lagi bau busuk yang menusuk hidung oleh masyarakat, namun tidak bagi pekerja yang rata-rata warga asing.

Malah gara-gara sikap dalam kalangan kita yang membuang sampah mengikut suka hati tanpa memasukkan ke dalam tong sampah secara teratur, mereka inilah yang sanggup mengutipnya.

Begitulah rutin harian kakitangan pengutip sampah di syarikat pengurusan sampah, Afbatni Recource Sdn. Bhd. (Afbatni Resources).

Diantara pekerja kontraktor pembersihan yang tiba di depoh simpanan lori sebelum kerja pengutipan sampah bermula susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Depoh Afbatni Resources Sdn. Bhd, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 MAC 2020

Tiada istilah cuti dan duduk diam di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 15 Mac lalu gara-gara penularan wabak Covid-19.

Malah syarikat itu beroperasi 365 hari dalam setahun tanpa ditutup termasuk Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Eksekutif Operasi, Afbatni Resources, Norkhizan Basharuddin berkata, syarikat itu beroperasi seperti biasa sepanjang PKP bermula shif pukul 3 pagi, 4 pagi, 5 pagi dan 6 pagi.

Jelas beliau, seperti biasa, sebelum keluar mengutip sampah, kakitangan diberi taklimat oleh penyelia masing-masing.

Kelihatan seorang pekerja kontraktor pembersihan bersiap sedia di dalam lori sebelum kerja pengutipan sampah bermula susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Depoh Afbatni Resources Sdn. Bhd, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 MAC 2020

“Cuma ketika PKP ini, kami menekankan kesihatan diri untuk mengamalkan arahan kerajaan seperti kerap mencuci tangan dengan pembasmi kuman selain pemakain topeng muka dan sarung tangan yang sudah menjadi amalan kakitangan.

“Untuk langkah berjaga-jaga, kakitangan disaran mandi di tempat kerja selepas habis syif sebelum pulang ke rumah,” katanya kepada MalaysiaGazette di depo syarikat itu di Pandamaran baru-baru ini.

Selain Pandamaran, kawasan lain Afbatni Resources turut meliputi Petaling Jaya, Shah Alam, Selayang dan Kajang.

Diusik soalan mereka juga wira tidak didendang ketika PKP ini, Norkhizan tidah kisah jika masyarakat lupa dan tidak menghargai sumbangan mereka yang memainkan peranan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Eksekutif Operasi Afbatni Resources Sdn Bhd, Nor Khizan Basharuddin bercakap kepada media berkenaan pengurusan kontraktor pembersihan di Depoh Afbatni Resources Sdn. Bhd, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 MAC 2020

Jelas beliau yang berusia 36 tahun, golongan pemain dalam industri sampah sudah biasa dengan tanggapan negatif masyarakat selama ini.

“Bayangkan, jika pekerja kutip tidak melakukan aktiviti harian dalam pengurusan sampah maka akan timbullah satu risiko besar buat persekitaran dengan timbunan sampah, bau busuk dan seterusnya mengundang kunjungan binatang pembawa penyakit dan berbisa sekali gus bakal merebakkan penyakit kepada masyarakat.

“Biasalah mentaliti masyarakat terhadap sampah dan juga kepada orang yang bekerja menguruskan sampah, mereka tiada hormat dan melihat kami seperti sampah, ia bukan dianggap sebagai satu bidang profesional seperti yang terdapat di negara-negara maju,” jelasnya yang sudah empat tahun berkhidmat di syarikat itu.

Pekerja kontraktok kebersihan memakan topeng muka dan sarung tangan ketika taklimat keselamatan sebelum memulakan kerja pengutipan sampah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di Depoh Afbatni Resources Sdn Bhd, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 MAC 2020

Sementara itu, Pengarah Urusan, Afbatni Resources, Datuk Mohd. Shahrul Nizam Mustapa yang ditemui melahrikan rasa syukur kerana ketika industri lain menerima tempias teruk sepanjang PKP, industri sampah tidak terkesan.

Jelas beliau, biarpun dipandang hina, industri itu akan terus hidup dan berkembang selagi ada manusia di muka bumi ini yang akan terus membuang sampah.

“Kenapa saya berminat menceburi bidang pengurusan sisa alam sekitar dan sisa pepejal kerana saya dan kakitangan boleh membuat bakti dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Cuma harapan saya, mentaliti masyarakat akan berubah untuk membuang sampah dengan teratur dan sempurna serta bukannya berselerak bagi memudahkan sampah dikutip selain mengelak perkara tidak diingin jika sampah dibuang ikut suka,” kata bekas penyelia Alam Flora Sdn. Bhd.. – MalaysiaGazette

Pengarah Urusan Afbatni Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Shahrul Nizam Mustafa bercakap kepada media berkenaan pengurusan kontraktor pembersihan di Depoh Afbatni Resources Sdn. Bhd, Klang, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 MAC 2020

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast