Anggota Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan warga asing yang bekerja membuat pemeriksaan kesihatan bagi membendung penularan wabak Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Pasar Borong Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Walaupun diberi amaran serta peringatan berkali-kali, namun peniaga dan pekerja Pasar Borong Selayang masih gagal mematuhi garis panduan serta undang-undang yang ditetapkan untuk membanteras wabak Covid-19.

Malah, apa yang lebih mengecewakan apabila keadaan pasar itu begitu sesak dengan orang ramai yang tidak mengendahkan  arahan penjarakan sosial.

Berikutan itu, kerajaan tidak lagi akan bertoleransi apabila mengarahkan anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal keadaan di pasar itu berkuatkuasa serta merta.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata,  mereka yang gagal mematuhi pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikenakan tindakan tegas.

“Sebelum ini, kita dapat banyak (menerima) aduan berhubung pasar di Ayer Itam Pulau Pinang tetapi kini sejak pasukan keselamatan memantau dan bertindak tegas, kini segala SOP (Prosedur Operasi Standard) dipatuhi dengan begitu baik sekali.

“Kita tidak lagi dengar isu di pasar Ayer Itam lagi. Bagaimanapun, kami terima aduan yang begitu banyak khasnya tentang keadaan sesak di Pasar Borong Selayang. Ramai sangat yang tidak patuh kepada arahan.

“Jadi selepas bermesyuarat pada hari ini, kita telah buat keputusan akan menghantar polis dan tentera untuk berkawal, banyak sangat tidak patuh di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas harian Menteri-Menteri bersama pihak berkuasa dalam mendepani Covid-19 di Perdana Putra di sini, hari ini.

Selain daripada bersesak-sesak kebanyakan peniaga, pekerja dan pengunjung Pasar Borong Selayang didapati tidak memakai penutup mulut dan hidung serta sarung tangan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah kehadiran ramai warga asing di situ.

Ismail Sabri turut menyentuh sikap segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan dalam tempoh PKP.

Tegas beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan di seluruh negara dan tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang menaikkan harga barangan.

“Kita dimaklumkan terdapat rungutan, ada kenaikan harga barang yang mendadak oleh peniaga sesuka hati. Jika didapati ada pihak menaikkan harga barang keperluan, sila buat laporan juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast