KUALA LUMPUR – Penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa mencuri tumpuan pengikutnya di Instagram (IG) apabila memuat naik foto memaparkan dirinya menggayakan busana tradisional pengantin Jawa bersama seorang jejaka
Malah penghibur berusia 41 tahun itu turut menulis kapsyen yang memohon maaf kerana tidak dapat menjemput teman-teman ke majlis pernikahannya berikutan arahan kuarantin.
“Terima kasih atas doa dan saya sangat menghargainya… Doakan kita bahagia ya,” katanya dalam entri berkenaan.
Rata-rata pengikut Rossa termasuk rakan selebriti mengucapkan tahniah kepada penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta itu yang disangka sudah bergelar isteri.
Namun Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani bagaimanapun menafikan dia sudah bernikah seperti yang tercatat dalam kapsyen entri berkenaan.
Kata ibu tunggal itu, dia sekadar bergurau di laman sosialnya dan jejaka yang dipaparkan adalah aktor popular Korea Selatan, Kim Sooh Hyun. – MalaysiaGazette