KUALA LUMPUR – Seorang pemuda berusia 21 tahun ditangkap polis atas kesalahan memiliki pisau dan dadah jenis Syabu.
Pemuda tersebut adalah antara sembilan individu yang dicekup polis semasa sekatan jalan raya diadakan di beberapa lokasi di daerah Petaling Jaya.
Suspek ditahan selepas memberhentikan motosikal yang ditunggang pada sekatan jalan raya di Persiaran Surian, Damansara kira-kira jam 8 malam semalam, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.
“Pasukan polis yang terlibat sekatan jalan telah menahan motosikal jenis Yamaja LC135 berwarna biru yang ditunggang suspek.
“Hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis berjaya menjumpai sebilah pisau yang diselit di bahagian belakang sebelh kiri badannya.
“Justeru dua paket plastik lutsinar yang berisi bahan dadah disyaki Syabu di dalam poket baju sejuk yang dipakai suspek serta besi panjang yang diubahsuai di motosikal suspek sebelum ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tangkapan dan rampasan senjata disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, katanya.
Nik Ezanee berkata, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selain Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, menurut beliau, polis turut menahan tiga individu kerana ingkar Perintah Kawalan Pergherak (PKP) dengan berada di luar daripada waktu yang dibenarkan tanpa alasan munasabah.
Jelasnya, tangkapan dilakukan terhadap seorang wanita warga Sierra Leone berusia 27 tahun di KM 0.3 Lebuhraya Sprint, Damansara dan dua lelaki warga indosia yang berumur 27 dan 33 tahun di lokasi yang sama.
“Pada tangkapan kelima pula dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun dicekup kerana mengingkar arahan PKP dan berkumpul meminum minuman keras di pekarangan parkir kenderaan di Blok J, Apartmen Saujana Damansara sekitar 11.15 malam.
“Manakala dua tangkapan lagi melibatkan di dua lokasi iaitu dua warga Myanmar di belakang lot kedai Zenith di SS7/2 Kelana Jaya kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri serta mengingkar arahan PKP dan tangkapan terakhir iaitu pada 5.10 pagi tadi melibatkan suspek kesembilan kerana cuba melarikan diri semasa diminta memberhentikan motosikal untuk pemeriksaan di Jalan PJS 10/11 Taman Seri Subang.
“Kesemua sembilan orang suspek berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 dan penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette.