KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menemui minyak di telaga penerokaan Monument yang terletak di luar pesisir Teluk Mexico, Amerika Syarikat (AS).

Penemuan itu adalah pencapaian penting oleh anak syarikat Petronas, Progress Resources USA Ltd. (PRUL) bersama-sama dengan rakan-rakannya dalam mengukuh dan membangunkan usaha firma minyak negara itu di Amerika, memandangkan ia mempelbagai dan mengembangkan portfolio perniagaan minyak dan gasnya di negara tersebut dan luar pesisir Teluk Mexico

Telaga penerokaan Monumen ultra-laut dalam digerudi pada kedalaman 10,164 meter dan menemui kira-kira 60 meter
pasir mengandungi minyak bersih di Lower Wilcox daripada batu pasir Paleogene.

Petronas berkata, dengan penemuan ini, kerja penilaian lanjut diperlukan untuk menentukan potensi penuh pengumpulan minyak.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Adif Zulkifli berkata, penemuan itu adalah perkembangan yang menggalakkan untuk firma ini yang mengejar peluang di luar Malaysia sejajar dengan strategi untuk mengembangkan perniagaan minyak dan gas.

“Ini adalah penglibatan pertama syarikat dan penemuan operasi telaga minyak dan gas di Teluk Mexico. Kami akan terus meneroka peluang di rantau Amerika dan mengukuhkan kelestarian portfolio global kami, “katanya.

Penemuan penerokaan telaga Monumen terletak di pusat Teluk Mexico dikendalikan oleh Equinor Gulf of Mexico LLC dengan 50% kepentingan kerja sementara PRUL menguasai 30% manakala Repsol E & P USA Inc. memegang baki 20%. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast