KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak perlu berlakon untuk menunjuk kononnya bersimpati atau mengambil berat soal kebajikan penjawat awam.
Ini kerana, sepanjang parti itu memerintah kerajaan Persekutuan dari 10 Mei 2018 sehingga 23 Februari lalu, pemimpinnya terutama dari DAP antara paling lantang mengkritik dan anti kepada penjawat awam.
Menurut penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusof, apa yang ditunjukkan PH ketika ini bagaikan “cakap tidak serupa bikin”, iaitu selepas bergelar pembangkang, baharu hendak cakna pada segala-galanya.
“Tiba-tiba saja Majlis Setiausaha PH (MSPH) buat kenyataan desak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya memperkasakan perkhidmatan awam dengan memberi penghormatan sewajarnya kepada golongan itu.
“Selama ini merekalah yang lantang mengkritik dan menunjukkan sikap anti terhadap penjawat awam.
“Tahniahlah PH atas lakonan yang paling melucukan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Dalam kenyataan media bertarikh 7 April semalam, MSPH melahirkan rasa kesal terhadap perkembangan mutakhir ini berkaitan pemecatan beberapa jawatan dalam agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Tindakan Kerajaan PN memecat jawatan-jawatan lantikan kerajaan sebelum ini daripada golongan profesional pada masa ini adalah tidak wajar dan bukan keutamaan.
“Kami berpandangan kerajaan tidak seharusnya bertindak melulu ketika negara sedang berhadapan dengan bencana wabak Covid-19 dan perlu menumpukan segala daya usaha dalam memerangi wabak itu dengan meletakkan rakyat sebagai kepentingan utama, bukannya bermain agenda politik,” kata kenyataan itu.
Kamarul Zaman yang merupakan bekas Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia kemudian mendedahkan kenyataan pemimpin PH yang berbaur anti terhadap penjawat awam sebelum ini.
Beliau mendedahkan kenyataan pemimpin PH terutama DAP berhubung kritikan mereka terhadap penjawat awam;
1.Yang menuduh penjawat awam sebagai membebankan kerajaan adalah pemimpin PH, khususnya Ketua Publisiti DAP, Tony Pua (rujuk kenyataan bertarikh 25 Oktober 2016).
2.Yang menegaskan betapa kerajaan tidak perlu takut untuk memecat penjawat awam adalah pemimpin PH, khususnya Exco Kerajaan Melaka, Kerk Chee Yee (18 September 2018).
3.Yang menegaskan keperluan untuk terus melakukan proses pembersihan kepada penjawat awam di kementerian-kementerian ialah pemimpin PH, khususnya Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr. Ong Kian Ming (17 April 2019).
4.Yang mendesak kerajaan supaya mengurangkan bilangan penjawat awam di dalam negara adalah pemimpin PH, khususnya Ahli Parlimen Sarikei dari DAP, Wong Ling Biu (19 November 2019).
5.Yang menuduh penjawat awam menjadi “deep state” dan mensabotaj kerajaan adalah pemimpin PH, khususnya Lim Kit Siang, Dr. P. Ramasamy, Charles Santiago, Ronnie Liu, Khalid Samad, Aiman Athirah dan Sivarasa Rasiah dari DAP, Amanah dan PKR (rujuk kenyataan yang dikeluarkan sepanjang November 2019).
6.Yang memindah dan menyejuk-bekukan (cold storage) penjawat-penjawat awam utama kerajaan, termasuk Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian ialah kerajaan PH (2018 dan 2019).
7.Yang mempersoalkan pemberian bantuan tunai RM500 kepada lebih 1.5 juta penjawat awam adalah pemimpin PH, khususnya Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (28 Mac 2020). – MalaysiaGazette