Seorang wanita yang dipercayai mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 hadir bagi membuat ujian saringan berikutan penularan wabak Covid-19 di Klinik Kesihatan Tengkera, Melaka. foto AFIQ RAZALI, 09 APRIL 2020

MELAKA – Tindakan seorang wanita hadir secara sukarela memaklumkan kesihatan dirinya yang memiliki simptom-simptom wabak Covid-19 wajar diberi pujian.

Wanita berusia 33 tahun itu datang seorang diri ke Klinik Kesihatan (KK) Tengkera sambil mengadu dia mula mengalami sakit kepala, sakit tekak dan sukar bernafas.

Malah dia jujur memberitahu pernah bertemu rakannya yang sebelum ini disahkan negatif Covid-19.

“Kali terakhir saya bertemu rakan saya itu pada 15 Mac pada satu majlis tahlil dan kami bersalaman.

“Namun dia mempunyai kontak rapat dengan seorang kawannya yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini,” katanya ketika ditemui di KK Tengkera di sini hari ini.

Kehadiran wanita yang bekerja di gerai makanan itu mendapat layanan baik kakitangan klinik yang terus membuat pemeriksaan kesihatan.

Seterusnya, wanita diminta mengisi borang mengenai simptom-simptom yang dimiliki selain kontak rapat ditemui dan lokasi dilawati sebelum ini.

Selesai semua urusan itu, dia dibawa ke sebuah bilik khas untuk dibuat ujian saringan Covid-19 yang dikendalikan oleh pasukan wabak KK itu.

Seorang wanita yang dipercayai mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 hadir bagi membuat ujian saringan berikutan penularan wabak Covid-19 di Klinik Kesihatan Tengkera, Melaka. foto AFIQ RAZALI, 09 APRIL 2020

Sementara itu, seorang doktor yang ditemui berkata, selepas dimaklumkan oleh wanita mengenai kesihatan dirinya, dia diminta memberi nama dan kad pengenalan rakannya.

Jelasnya, pihak KK akan mengesan rakannya yang pernah disahkan negatif Covid-19 sebelum ini sementera menunggu ujian saringan wanita berkenaan.

“Kebiasaannya keputusan ujian saringan akan diketahui dalam masa 48 jam,” katanya.

Sementara itu, KK Tengkera antara lima KK yang membolehkan orang ramai menjalani pemeriksaan atau tapisan kesihatan virus Covid-19 dan keputusan ujian saringan akan diketahui dalam tempoh 48 jam.

Kriteria tapisan kesihatan membabitkan mereka yang demam atau mengalami jangkitan salur pernafasan akut dengan mana-mana satu simptom berikut, iaitu sesak nafas, batuk dan sakit tekak.

Turut perlu menjalani tapisan kesihatan ialah sesiapa yang ada sejarah melawat atau tinggal di negara terjejas, iaitu China (termasuk Hong Kong, Macau dan Taiwan), Korea Selatan, Itali, Iran dan Jepun dalam tempoh 14 hari sebelum gejala.

Mereka yang mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari sebelum gejala turut dikehendaki menjalani tapisan kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast