Mohamad Ali Hasan.

KUALA LUMPUR –  Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) meminta semua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk penangguhan sesi persekolahan lebih lama daripada yang dijangkakan.

Ia termasuk jika penangguhan sesi persekolahan sehingga hujung tahun berikutan situasi tidak menentu dan tahap keselamatan warga sekolah belum menyakinkan sehingga menyebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan.

Presiden PIBGN, Datuk Mohamad Ali Hasan, berkata, beberapa faktor itu perlu diambil perhatian semua pihak dalam keputusan penangguhan ini.

Katanya, ia termasuk statistik mereka yang dijangkiti pandemik membunuh Covid-19 belum stabil dan masih meningkat.

“Sikap segelintir rakyat yang belum bekerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan PKP, peningkatan kepulangan warga negara atau pelajar yang belum pasti ‘bersih’ Covid-19, pengalaman luar negara yang belum laksana PKP, pusat kuarantin yang masih belum terkawal sepenuhnya.

“Pertambahan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), masih ramai abai nasihat serta pandangan pakar perubatan, keperluan banyak lagi kawasan sanitasi awam, banyak lagi zon merah serta sabotaj dan berita palsu,” katanya.

Katanya, PIBGN turut menyokong penuh keputusan kerajaan untuk menangguhkan sesi persekolahan sehingga kerajaan benar-benar yakin negara kembali pulih daripada wabak Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, pelajar sekolah bagaimanapun masih perlu meneruskan pembelajaran di rumah.

Sementara itu, Mohamad berkata pihak berkenaan tiada pilihan jika dilanjutkan, perlu susun semula jadual pengajaran dan pembelajaran.

“Manfaatkan sepenuhnya dan diperkasajan pembelajaran secara digital teratur, bijaksana, menyeluruh dan seronok. Tenaga pengajar pakar dan mahir perlu digembeleng,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast