Temubual Eksklusif bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Hampir 100 peratus penduduk di bangunan Malayan dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India yang kini terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Dilanjutkan (PKPD) merupakan warga asing.

Selangor Mansion dan Malaya Mansion dikenakan PKPD selepas Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak 15 kes positif Covid-19 tiga hari lepas yang melibatkan 6,000 penduduk dalam 365 unit rumah dan komersil.

Rata-rata warga asing itu dari negara India, Pakistan, Bangladesh dan Myanmar.

Justeru, kerajaan telah meminta kedutaan masing-masing untuk segera tampil menjaga kebajikan rakyat mereka sehingga PKPD ini berakhir.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, ada kedutaan negara-negara terbabit didakwanya bersikap tidak acuh sahaja.

Lebih menyayat hati apabila beliau berkata, ada kedutaan kelihatan begitu berkira terutama untuk menghantar makanan kepada penduduk situ.

“Saya sendiri tidak menyangka kita terpaksa pula berhempas pulas menjaga kebajikan menyediakan makan kepada lebih 5,000 warga asing yang menetap di Selangor Mansion dan Malayan Mansion kerana isu positif wabak Covid-19.

“Sedangkan jika difikir balik, nasib rakyat kita pula di negara orang, apakah sebenarnya nasib mereka? Kadang-kadang di negara orang, rakyat kita tidak terjaga. Tapi apakan daya, kita ini memang lain. Tidak sampai hati.

“Saya sebenarnya betul-betul hampir hilang sabar semalam ketika mesyuarat dengan pihak kedutaan beberapa negara ini. Hendak buat keputusan bagi peruntukan RM20,000 pun mereka datang tiga kali bermesyuarat.

“Saya minta maaf, saya cuba guna bahasa yang sopan kerana hendak jaga hubungan diplomatik tapi hendak nyatakan soal sikap, saya beritahu mereka soal makan ini tidaklah sehingga kita tunggu tiga hari.

“Kita buat lockdown ini bukan kita warga asing atau tidak, lagipun kita juga tidak benarkan mereka keluar,hari pertama saya sendiri buat silap dengan anggap mereka ada dapur dan boleh memasak, rupa-rupanya dapur itu juga tempat tidur mereka,” katanya dalam temubual khas bersama MalaysiaGazette semalam.

Temubual Eksklusif bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2020.

Sambung Annuar,  beliau hanya dimaklumkan selepas 24 jam yang kediaman warga asing itu bukan sahaja tidak mempunyai dapur malah ada juga unit yang sepatutnya diduduki lima orang tetapi didiami sehingga 20 orang.

“Sudahlah kita tidak beri mereka keluar, ini makan juga tidak diberikan. Tidak akan tergamak kita perlakukan mereka sebegitu rupa. Saya memang silap fikir mereka ada dapur, jadi kami benarkan mereka beli barangan masak. Kebanyakan unit situ tiada dapur.

“Satu unit itu saya dapat tahu ada sampai tinggal 20 orang sedangkan boleh duduk sampai lima orang, jadi soal makan ini kita terpaksa titik beratkan sebenarnya. Kita tidak sampai hati,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beberapa kali beliau mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia khasnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dengan begitu cepat dan efisyen sampai dahulu menyediakan makanan kepada penduduk Malayan dan Selangor Mansion.

“Tidak sampai 48 jam, macam-macam yang tampil. Ada juga dalam kalangan warga Sikh dari Gudwara menyediakan makanan ‘sayuran’ kepada yang tidak makan daging. Sampai begitu sekali keprihatinan rakyat kita.

“Saya tidak keluar duit, kerajaan tidak keluar duit, NGO yang tampil sokong, bantu. Itulah kebenarannya.

“Dekat 2,000 bungkusan makanan kita edar bagi warga asing ini, itulah kita rakyat Malaysia, tidak sampai hati langsung melihat penderitaan serta kebajikan, kita pentingkan isu kemanusian terlebih dahulu,” katanya lagi.

Temubual Eksklusif bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Yayasan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 11 APRIL 2020.

“Saya doa banyak-banyak supaya penyakit tidak merebak, walaupun ianya telah merebak seluruh negara namun di Kuala Lumpur intensiti lebih sedikit, saya mesyuarat dua kali sehari pastikan semua berjalan lancar.

“Di Kuala Lumpur ini, peningkatan kes memang mendadak dan cepat sebenarnya,” jelasnya. –MalaysiaGazette

8 Komen

  1. Datuk menteri.. Lepas abis convid, hantar jer bil kat kedutaan tu. Biar dorang rasa tanggungjawab sikit.

  2. Pindahkan warga asing itu ke kedutaan negara mereka masing-masing jer…kasi ajar sikit biar mereka kelamkabut utk membantu….

  3. Mana perginya majikan mereka.Mana boleh lepas tangan bila menghadapi kesusahan serah kepada kerajaan, ini tidak adil. Ini jadi pengajaran besar kepada Malaysia. Namun terpaksa ditempuhi. Selepas C19 ada baiknya Negara reset semua warga asing samada suruh meka balik ketempat asal.
    Syarat2 pekerja asing diperketatkan dengan peraturan yang dikenakan. Seperti contohnya; Antara syaratnya pekerja asing dikehendaki daftarkan diri di PLKN menjalani pemeriksaan, penerangan berkaitan dengan budaya Malaysia, peraturan dan perundangan negara. kesalahan2 yang boleh dijatuhikan hukuman selama 7hari. Selepas tamat barulah majikan mereka boleh ambil berkerja selama 3 -5 tahun saja.

Comments are closed.