SETIAP pagi Dediy Sulaiman akan menaiki motosikal kapcai dari rumahnya di Kampung Paya Jaras Hilir, Selangor ke pasar-pasar untuk menjual tempe. Sepanjang perjalanan ke sana, di minda lelaki berusia 40 tahun itu sering tergambar pelbagai cerita dan sketsa.
Sebaik sahaja selesai tugas menghantar tempe, dia akan segera pulang ke rumah dan terus masuk ke salah sebuah bilik kecil di dalamnya. Dia kemudian akan mencatat kembali idea tersebut sebelum merangka jalan ceritanya pula.
Bilik tersebut ibarat mini studio di mana Dediy akan menghasilkan pelbagai video pendek menggunakan telefon bimbit sebelum dimuat naik ke Youtube.
Itulah antara rutin hariannya sejak tahun 2009.
Namun selama 11 tahun ‘kehadirannya’ sebagai Youtuber bagaikan tidak dirasakan sehinggalah bulan lalu apabila percubaannya untuk menghasilkan video parodi tiba-tiba ‘meletup!’
“Asalnya masa mula-mula menghasilkan video dalam Youtube dulu, saya lebih banyak memuatnaik lagu-lagu popular cover version nyanyian saya sendiri. Memandangkan saya dari keluarga Bawean, lagu-lagu popular yang saya nyanyikan itu saya tukar liriknya ke bahasa tersebut. Namun sambutannya biasa-biasa saja.
“Pada tahun 2004, saya berduet dengan penyanyi antarabangsa Jessi J dalam Smule, kami berdua menyanyikan lagu terkenalnya Flashlight. Saya kemudian memuatnaik video tersebut dan siapa sangka ia mencatatkan lebih 2.2 juta tontonan!
“Begitu juga bulan lalu sewaktu ada satu perhimpunan di Dataran Merdeka oleh sekumpulan aktivis yang menentang pertukaran kerajaan. Ada seorang aktivis wanita dalam perhimpunan itu asyik menyebut ‘Siapa Muhyiddin’ dan keropok Super Ring.
“Saya kemudiannya menghasilkan parodi mengenainya dan sekali lagi ia mendapat sambutan hebat sehingga saya dipanggil ‘Abang Super Ring’ ,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Cheras itu.
Menurut Dediy, sejak itu beliau ‘mula faham’ topik-topik yang digemari penggemar Youtube dan semakin aktif menghasilkan video sumpamanya di dalam saluran tersebut.
Ketika ditanya teknik penghasilan video-videonya, Dediy berkata, dia tidak mempelajarinya secara formal sebaliknya hanya menggunakan aplikasi Kinemaster untuk melakukan suntingan.
“Ramai orang ingat saya shoot dulu dan edit kemudian tetapi sebenarnya saya melakukan kedua-dua kerja itu dengan serentak menggunakan telefon bimbit saya.
“Sebenarnya saya bukan guna peralatan yang mahal dan canggih pun. Kalau campur semua barang seperti telefon bimbit, mikrofon dan komputer riba saya yang dah lama ni, nilainya hanya ratusan ringgit sahaja.
“Walaupun kualiti gambar tidak secanggih mana, namun Alhamdulillah content atau kandungan video saya nampaknya lebih diterima ramai,” ujar Dediy.
Sebenarnya siapa sangka di sebalik telatah lucu dalam video-video parodinya, Dediy juga menyimpan kisah sedih dalam dirinya.
Antaranya bagaimana dia terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah universiti awam semata-mata hendak membantu ahli keluarganya selepas kematian ayah angkatnya. Untuk rekod, Dediy tinggal dan dibesarkan oleh ibu dan ayah angkatnya itu.
“Tak ada siapa yang mampu mengeluarkan perbelanjaan untuk saya ketika itu, akhirnya saya terus bekerja untuk mencari rezeki seperti biasa,” kata Dediy.
Dalam perkembangan yang sama, Dediy turut bersyukur kerana ahli keluarganya menerima penglibatannya sebagai Youtuber, malah ada ketika dia mengajak isteri dan anak-anaknya untuk berlakon bersama-sama dalam videonya.
“Lagipun di dalam waktu-waktu PKP ni nak buat apa lagi kat rumah, buat video jelah,” katanya tersenyum.
Dalam pada itu, Dediy turut menasihatkan mereka yang mahu bergelar Youtuber supaya tidak terlalu ‘memaksa diri’ kerana adakalanya ia bergantung kepada ‘tuah’ seseorang juga.
Ujarnya, dia sendiri hanya mula dikenali selepas 11 tahun melibatkan diri dalam platform berkenaan.
“Apa yang saya boleh katakan, teruslah menghasilkan video yang baik dan yang boleh diterima rakyat Malaysia semua. Benda ni kena cuba dan cuba. Kata kuncinya jangan putus asa dan pada masa yang sama kena banyak bersabar,” kata Dediy sebelum mengakhiri perbualan. – MalaysiaGazette.
https://www.youtube.com/watch?v=xZ_xU0GmJ9g