Nicole Wong
Nicole Wong

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Siti Zailah Mohd Yusoff ekoran kecamannya di Twitter semalam.

Nicole menerusi ciapan di laman sosial berkenaan mengkritik Siti Zailah berhubung tips bagi menghadapi permasalahan rumah tangga yang pada pendapatnya tidak relevan untuk isteri berdiam diri terhadap suami yang dayus.

Disebabkan perkara itu, Nicole menyifatkan Siti Zailah sebagai tidak layak menjadi timbalan menteri susulan nasihat pemimpin Pas itu berkenaan isu hubungan rumah tangga.

“Oleh yang demikian, saya dengan rendah diri ingin memohon maaf kepada YB Siti Zailah.

“Saya telah melakukan kesilapan dalam membuat penilaian dengan terlalu cepat dan hanya berdasarkan satu sumber.

“Kesalahan ini adalah kesalahan saya seorang saja dan ianya tidak melibatkan pendirian parti saya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan permohonan maafnya itu bukanlah suatu alasan untuk ahli politik muda sepertinya untuk mengulangi kesalahan yang sama sebaliknya, beliau akan berwaspada sebelum membuat sebarang kenyataan di media sosial pada masa akan datang.

Nicole turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan kesilapan sepertinya apabila membuat kesimpulan secara sembrono tanpa meneliti sumber maklumat sahih terlebih dahulu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.