buku karya Timothy D. Walker (selepas ini ditulis Tim Walker) berjudul “Teach Like Finland”, terbit pada tahun 2017 oleh WW Norton & Co. berpengkalan di New York, Amerika Syarikat

SEBUAH buku karya Timothy D. Walker (selepas ini ditulis Tim Walker) berjudul “Teach Like Finland”, terbit pada tahun 2017 oleh WW Norton & Co. berpengkalan di New York, Amerika Syarikat telah meledakkan satu wacana awam yang meriah, khususnya membongkar rahsia kejayaan pendidikan di sebuah negara kecil di rantau Nordik atau dahulu disebut Scandinavia, iaitu Finland.

Pustaka Gransindo telah mengambil inisiatif mengalih bahasa buku tersebut ke dalam bahasa Indonesia dengan judul “Mengajar Seperti Finlandia: 33 Strategi Sederhana Untuk Kelas Yang Menyenangkan.”  Pengarang Tim Walker juga cergas menulis untuk Education Week Teacher, Educational Leadership dan juga blognya, “Taught by Finland.”

Warga pendidik, guru, ibu bapa dan murid tentunya wajar mengulang sorot buku karya Tim Walker ini kerana di dalamnya sarat terkandung kelainan yang ditawarkan untuk melakar kejayaan di bidang akademik. Naratif kejayaan pendidikan  di Finland tentu sekali beralasan.

Pada tanggal 4 Disember 2001 apabila rumusan Program For International Student Assessment (PISA) pertama kali diluncurkan, Finland berada pada kedudukan tertinggi dalam skor pencapaian tiga bidang utama akademik, iaitu Membaca, Matematik dan Sains mengatasi negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Naratif kejayaan ini sekali gus mencetuskan peralihan minat mendalam global terhadap reformasi dan geografi pendidikan yang sejak sekian lama dikuasai negara-negara Anglo-Saxon kepada kejayaan negara-negara Asia, di samping Finland dan juga Kanada.

Rahsia kejayaan persekolahan dan pendidikan Finland dilakar kemas Tim Walker, seorang pendidik berasal dari Amerika Syarikat dan kemudian berhijrah ke Finland lalu menemui sebuah keajaiban, pengalaman baharu yang sama sekali berbeza dengan negara asal beliau.

Tim Walker mengakui tahap tekanan kerja warga pendidik di Amerika Syarikat, antara lain kerana harapan menggunung ibu bapa untuk melihat prestasi dan rekod akademik anak-anak mereka sentiasa cemerlang, tiada tempat untuk kegagalan. Rakaman tahap tekanan tinggi dirasai Tim Walker digambarkan seperti berikut:

“Dalam suatu malam saya bisa terbangun 4 atau 5 kali. Kadangkala saya menjadi begitu cemas di pagi hari hingga saya lari ke kamar mandi di apartment saya dan muntah – saya tahu, itu menjijikkan.”

Berbeza dengan suasana pembelajaran dan kerjaya guru-guru di Finland, umumnya mereka bekerja tidak melebih enam jam sehari, termasuk satu atau dua jam persediaan mengajar, manakala pulang sahaja ke rumah sekitar jam 2 petang, segala pekerjaan hariannya dianggap sudah selesai.

Di Finland, guru-guru mempunyai waktu berehat 15 minit pada setiap tempoh satu jam mengajar, sebahagian besar mereka akan menghabiskan masa tersebut di ruang rehat sekolah sambil menikmati kopi, berbual-bual dengan rakan sekerja atau membelek-belek majalah.

Tidak demikian halnya di Massachusetts, salah sebuah bekas sekolah Tim Walker pernah mengajar sewaktu makan tengah hari, dia masih terus bekerja, bergerak dari kelas ke kelas sambil membawa sebiji pisang, memakannya sambil menyiapkan tugasan kerja tanpa kesudahan!

Maka tidak mengejutkan perangkaan menunjukkan 50 peratus guru-guru di Amerika Syarikat meninggalkan kerjaya selepas hanya lima tahun berkhidmat akibat tekanan dan bebanan tugas melampau!

Berdasarkan pengalaman berkhidmat di Amerika Syarikat diadun dengan beberapa tahun bekerja dan menetap di Finland, Tim Walker mengenal pasti langkah-langkah yang dapat digunakan pendidik untuk mempromosikan kegiatan belajar mengajar yang menyenangkan.

Jawapannya terletak di dalam huraian “33 Strategi Sederhana Untuk Kelas Yang Menyenangkan” di dalam buku ini.

Menarik juga diberi perhatian kata pengantar oleh Pasi Sahlberg, yang antara lain menegaskan pendidikan di Finland menyediakan wadah yang seimbang, menyeluruh, berorientasikan murid, meletakkan suatu asas pembelajaran yang baik dan pantas.

Kurikulum sekolah memberi wajaran yang sama rata untuk semua mata pelajaran sehingga murid-murid mampu mengolah keperibadian dan bakat mereka. Tiada sekolah swasta dan persaingan antara sekolah menjelaskan bahawa semua sekolah di Finland adalah sama baik dan berkualiti. Semua berhak belajar tanpa pengasingan kemampuan, status sosial atau ekonomi.

Maka, sekolah di negara yang lebih banyak menikmati musim dingin, redup tetapi bersih, teratur dan makmur ini memberi tempat terhadap kesejahteraan, kesihatan  dan kebahagiaan murid.

Guru memiliki autonomi, syarat kelayakan minimum akademik haruslah pemegang ijazah sarjana, di samping menguasai aspek psikologi, pedagogi, ilmu pengkhususan, dan mata pelajaran didaktik.

Demikian juga sekolah perlu diketuai seorang pemimpin pendidik yang berpengalaman dan berkualiti. Di Finland, pemimpin adalah guru dan guru adalah pemimpin.

Salah satu aspek yang wajar diberi perhatian ialah penekanan terhadap terhadap nilai kebahagiaan. Meningkatnya kesejahteraan bermakna keupayaan untuk meningkatkan pencapaian akademik murid.

Justeru, pada tahun 2016, sekolah di Finland menerapkan kurikulum inti yang memberi penekanan terhadap nilai kebahagiaan.

Tim Walker mengakhiri nota di halaman akhir buku ini dengan menghubungkan peribadi dirinya sebagai guru dan makna sebuah kebahagian.

“Namun kebahagiaanlah yang membuat saya tetap mengajar, dan saya berkomitmen – entah mengajar di Finland, Amerika Syarikat, atau tempat lain di dunia – untuk mengingat dan memprioritkannya di dalam kelas saya. Bagaimana dengan Anda?”

Wajar sekali warga pendidik, guru dan pelaksana dasar-dasar pendidikan di negara kita menyorot dengan serius kandungan buku dan mencontohi kesesuaiannya.

Tempoh selepas pasca Covid-19 ini bakal menyaksikan satu anjakan perubahan lebih menyeluruh terhadap sistem persekolahan dan pendidikan kita. Saksikan sahaja nanti! – MalaysiaGazette

Mohd Shah Abdullah

Penulis, Mohd. Shah Abdullah bertugas sebagai Ketua Jabatan Komunikasi dan Pensyarah Kanan, Manipal International University (MIU), Nilai. Beliau memberikan fokus di bidang Kewartawanan, Pengurusan Krisis, Undang-Undang Media dan Etika.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast