Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Ekoran keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Masjid India dan kawasan-kawasan sekitarnya bermula hari ini, sejumlah 573 sampel telah diambil daripada penduduk kawasan itu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, sampel itu kini menunggu keputusan samada terdapat kes positif Covid-19 di kawasan itu.

“Di Masjid India, setakat ini, kami tidak mengesan sebarang kes positif atau kes baru Covid-19 yang dikesan tetapi kami telah memulakan tindakan kami dengan aktiviti pengesanan kes yang aktif di sana, walaupun PKPD telah dilaksanakan.

“Jadi pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memerlukan beberapa hari sebelum kita dapat keluar dengan hasil,” kata Noor Hisham.

PKPD di Masjid India dan kawasan-kawasan sekitar dikuatkuasakan sehingga 28 April depan.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKPD itu melibatkan Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.

PKPD ini adalah yang kelima dikenakan oleh kerajaan selepas Kluang, Hulu Langat, Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion di ibu negara. -MalaysiaGazette