KUALA LUMPUR – Mengakhiri kilometer terakhir dalam misi berlari dari Muar ke bangunan Parlimen, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul dana sebanyak RM160,000.
Beliau ketika ditemui mengucapkan berterima kasih kepada lebih 2,000 penyumbang bagi menjayakan misinya kepada penduduk di Muar.
“Sejujurnya saya terhutang budi dengan semua pihak di mana 2,000 rakyat Malaysia yang menyumbang tapi lebih saya terharu mereka bukan sahaja menyumbang atas talian malah sambil berlari ada yang sumbangkan duit mereka kepada misi ini.
“Ada yang beri RM100, RM50, RM10 dan ada adik yang beri seringgit, ini sangat luar biasa,” katanya dalam sidang media selepas tiba di pekarangan bangunan Parlimen kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Sebelum ini, Syed Saddiq berkata, larian itu bertujuan untuk mengutip dana RM100,000 bagi Pusat Khidmat Muar yang diperlukan untuk menggerakkan operasi bagi membantu rakyat.
Dalam sidang media sama, Syed Saddiq mendesak agar kerajaan mengembalikan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang bagi memudahkan wakil rakyat membantu mereka yang memerlukan di kawasan masing-masing.
“Kita desak supaya hak itu dikembalikan jangan nafikan kerana warna politik, itu tidak adil, zalim dan salah,” katanya lagi.
Ditanya sama ada, beliau akan menggerakkan larian buat kali kedua, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dipertimbangkan sekiranya kerajaan masih enggan memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimem pembangkang.
“Ini bukan tentang Parlimen Muar semata-mata tapi ini berkaitan rapat dengan negeri pembangkang dan isu royalti yang patut diberikan, ini adalah isu hak rakyat,” katanya lagi.
Syed Saddiq memulakan larian pada Jumaat bermula Jambatan Sultan Ibrahim Muar ke Telok Mas sejauh 39 kilometer (km) dan menyambung larian pada pukul 5 petang dari Telok Mas ke Alor Gajah, Melaka sejauh 34 km.
Pada Sabtu lalu, Syed Saddiq menyambung larian dari Alor Gajah ke Rembau, Negeri Sembilan kira-kira 30 km bermula pada pukul 6.30 pagi dan menyambung larian ke Seremban, Negeri Sembilan sejauh 23.5 km pada pukul 5 petang. – MalaysiaGazette
Nak bg peruntukan kepada kamu dan pembangkang buat apa? Buat habis duit jaa…baik kerajaan bagi peruntukan kpd wakil rakyat DAP..simple