KUALA LUMPUR – Saringan kedua Covid-19 dilakukan terhadap penghuni Menara City One di sini yang ketika ini sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 31 Mac lalu.
Salah seorang daripada doktor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlibat dalam saringan hari ini, Dr. Danial Izzat berkata, kira-kira 650 penduduk Menara City One telah disaring buat kali kedua sepanjang hari ini.
Tanpa memberikan apa-apa perincian, beliau berkata, pihaknya juga telah selesai menjalankan proses saringan yang memakan masa beberapa jam dengan lancar.
“Sebelah pagi, kita (KKM) ada buat saringan sekitar hampir 500 orang dan sebelah petangnya pula seramai 150 orang, kira sudah hampir selesai kita jalankan saringan.
“Maklumat yang lain tidak dapat diberikan ketika ini, kita tunggu dulu keputusan nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tinjauan di kawasan itu mendapati kerja-kerja saringan dilakukan kira-kira 40 petugas dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula sejak 9 pagi sehingga lewat petang dalam beberapa kumpulan.
Para petugas itu juga yang datang sebelah pagi sebelum digantikan dengan satu lagi kumpulan pada sebelah petang dengan lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk proses saringan Covid-19.
KKM sebelum ini mendapati, kes Covid-19 yang dilaporkan di Menara City One yang terletak di Jalan Munshi Abdullah di sini ada kaitan dengan kluster perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah juga pernah berkata kes indeks di bangunan itu telah menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling.
Sementara itu, ketika kumpulan petugas KKM yang selesai melakukan saringan pada sebelah petang, mereka sempat melahirkan rasa penghargaan mereka kepada portal MalaysiaGazette dengan cara tersendiri.
Petugas itu yang merupakan pegawai farmasi, Dr. Helmi Hafiz sempat menayangkan tulisan ‘TQ MalaysiaGazette’ pada PPE yang dipakainya.
Ketika ditemui, beliau berkata, dirinya cukup terharu dan amat menghargai laporan berita, video serta paparan gambar disiarkan portal MalaysiaGazette khususnya berkaitan Covid-19 serta barisan hadapan selama ini. –MalaysiaGazette