KUALA LUMPUR – “Kalau positif sekalipun saya tak akan berasa kecewa”.
Itu jawapan pelakon dan penyanyi Keena atau nama sebenarnya Suriana Abdul Wahab yang merupakan satu-satunya golongan artis yang berani mengambil risiko untuk turut serta bersama barisan hadapan dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.
Aktor yang dilahirkan menerusi program realiti sebuah stesen televisyen swasta ketika ditemui MalaysiaGazette berkata, dia menyertai Rescue Bencana Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kerana merasakan ia sebagai satu tanggungjawab dalam membantu melakukan kerja-kerja kebajikan.
Katanya, tidak ada perkara lain yang dapat dilakukan olehnya untuk sama-sama merasai pengorbanan mereka di barisan harapan selain terlibat secara langsung dengan petugas-petugas berkenaan di lapangan.
“Tujuan saya join (sertai) tanpa dibayar secara sukarela untuk membantu frontliners yang lain.
“Keena berterima kasih kepada Rescue Bencana Malaysia kerana terima Keena dalam pasukan ini,” kata beliau yang memberitahu NGO berkenaan pada mula-mulanya ragu-ragu dengan permintaannya untuk menyertai pasukan itu.
Menurut Keena, dia bertekad untuk meneruskan hasratnya bagi menyertai NGO berkenaan meskipun telah diberitahu risiko-risiko yang bakal hadapi.
Ujarnya, semua itu bukanlah halangan untuk beliau melakukan khidmat kepada masyarakat, walaupun pada hakikatnya beliau merupakan seorang penghibur.
“Walaupun kita tiada pengalaman tapi mereka beri tunjuk ajar dan bantaun kepada Keena.
“Lepas ni kalau ada lagi saya nak join, ramai artis yang bagi galakan, mereka nak bantu tapi, benda ini berisiko. Nanti kalau jadi apa-apa lepas ni nak menyanyi, nak berlakon susah,” tambah beliau sambil menyatakan ramai dalam kalangan rakan artis yang memberi perangsang dan galakan kepadanya untuk melakukan usaha murni itu.
Keena berkata, langkah yang diambil olehnya itu juga adalah sebahagian daripada caranya untuk menolak pandangan netizen yang dilihat sesetengahnya mengutuk golongan artis dengan pelbagai kecaman di laman sosial.
Beliau turut menggalakkan agar lebih ramai lagi golongan artis untuk terlibat sama dalam usaha seperti dilakukan tanpa mengharapkan apa-apa kerana ia merupakan salah satu cara untuk berbakti kepada negara.
Jelasnya, beliau tetap akan meneruskan langkah yang telah diambil itu tanpa perlu menoleh ke belakang atau menuding jari kepada orang lain sekiranya berdepan dengan risiko-risiko yang akan ditanggung.
“Kalau kita nak buat, kita buat saja, ajal dan maut semua di tangan tuhan,” ujarnya.
Ditanya apakah yang dilakukan olehnya ketika mengikuti NGO tersebut, Keena memberitahu, dia menerima apa sahaja arahan dengan hati terbuka tanpa mempersoalkannya.
Untuk rekod, Rescue Bencana Malaysia merupakan NGO yang memberikan khidmat kepada petugas barisan hadapan untuk sama-sama membantu mencegah penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini. – MalaysiaGazette