Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kerajaan telah meluluskan penyambungan kontrak perkhidmatan Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Pegawai Farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tempoh enam bulan lagi.

Kelulusan tersebut melibatkan penyambungan perkhidmatan kontrak bagi 79 Pegawai Perubatan Gred UD41; 852 Pegawai Pergigian Gred UG41; dan 1,139 Pegawai Farmasi Gred UF41 yang akan diuruskan dari semasa ke semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, keputusan tersebut hanya melibatkan petugas kontrak perkhidmatan yang telah dan akan berakhir secara berperingkat pada akhir tahun 2019 dan tahun 2020 sahaja.

“Kementerian Kesihatan Malaysia amat prihatin terhadap situasi semasa dan suara hati segenap lapisan rakyat serta tanggungjawab besar yang dipikul warga kerja KKM di barisan hadapan, dalam menghadapi cabaran besar wabak COVID-19.

“Kerajaan berharap penyambungan kontrak perkhidmatan ini juga dapat menyediakan peluang kepada pegawai untuk terus berkhidmat serta memastikan penyampaian kesihatan terus berjalan lancar dan memberi banyak manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette