KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja menyebabkan rancangan balik kampung ribuan orang terjejas, malahan turut menerima impaknya adalah Yi Yi.
Anak kedua pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang itu yang dijadualkan “balik kampung” pada tahun ini kini terpaksa menukar jadual perjalanan ke negara tembok besar kerana COVID-19.
Oriental Daily melaporkan, rancangan “balik kampung” panda berusia dua tahun itu mula-mula tergendala kerana wabak di China pada awal tahun.
Apabila keadaan di China mula pulih, tiba pula giliran Malaysia berdepan wabak, sekali gus memaksa Yi Yi menjalani PKP di Zoo Negara.
“Kami masih menjaga Yi Yi seperti biasa. Sikap Yi Yi lebih aktif dan lebih suka menghampiri manusia berbanding kakaknya,” kata sumber daripada Pusat Konservasi Panda Zoo Negara.
Kata sumber lagi, disebabkan kekurangan pelawat, emosi anak panda itu juga sedikit terganggu dan asyik melihat keadaan di tempat pelawat.
“Panda adalah haiwan yang sensitif dan mereka merasakan perubahan yang berlaku.
“Tambahan pula, Yi Yi adalah lebih aktif dan dia mungkin tidak faham malahan mungkin sedikit kecewa kerana jumlah orang yang melawat telah berkurangan,” katanya.
Yi Yi kini dipisahkan dengan ibunya kerana perlu mempersiapkan diri duduk berseorangan, sebagai persediaan untuk kembali ke China.
Yi Yi yang menyambut hari jadi keduanya pada Januari lalu merupakan anak panda kedua yang dilahirkan di Malaysia.
Kakaknya bernama Nuan Nuan telah kembali ke China pada 2017 selepas mencapai usia dua tahun. – MalaysiaGazette