(PDRM) mendapati banyak kenderaan terutamanya kenderaan perkhidmatan bukan penting (non-essential) mengambil kesempatan beroperasi walaupun masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR-Jangan balik kampung menyambur Ramadan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuatkuasa, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jadi, pulang ke kampung untuk menyambut puasa, tidak dibenarkan,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan berlakunya pelanggaran PKP sebelum Ramadan kerana umat Islam mahu pulang ke kampung.

Menurutnya, ia termasuk larangan keluar daripada kawasan dalam radius 10 kliometer walaupun untuk membeli keperluan atau perubatan.

Selain itu, menurut ismail Sabri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati banyak kenderaan terutamanya kenderaan perkhidmatan bukan penting (non-essential) mengambil kesempatan beroperasi walaupun masih belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, semua industri perlu mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum memulakan operasi.

“Ingin ditegaskan, semua industri perlu memohon kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan tidak dibenarkan beroperasi tanpa kelulusan MITI.

“Walaubagaimanapun, industri dan sektor seperti bekalan makanan dan perubatan yang telah diberi kebenaran beroperasi semasa PKP 1 dan PKP 2 dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya lagi.

Tambah Ismail Sabri, semalam PDRM telah menangkap 1,315 individu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah tersebut 1,226 individu direman dan 89 individu dijamin polis.

Seramai 312 individu telah dituduh di mahkamah dan dengan itu, jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP sehingga 15 April adalah sebanyak 11,017 individu.

Ketika ditanya mengenai jumlah kenderaan yang dilihat semakin meningkat sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, Ismail Sabri berkata, kesesakan tersebut sebenarnya disebabkan oleh pemeriksaan ketat semasa sekatan jalan raya.

“Kesesakan berlaku kerana pihak polis melakukan pemeriksaan dengan ketat dan tegas. Sebab itu terpaksa beratur panjang.

“Kami dimaklumkan oleh PDRM, mereka tetap akan melakukan pemeriksaan yang ketat terhadap setiap kenderaan walaupun berlaku kesesakan jalan raya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette