Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah perlu memperkemaskan perancangan pembangunan dan kaedah pelaksanaan terbaik bagi merangsang ekonomi agar pertumbuhannya dapat dipertingkatkan lagi sebagai persediaan menghadapi pasca pandemik COVID-19.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah sasaran aliran masuk pelaburan, projek pembangunan fizikal dirancang terutamanya berimpak tinggi hendaklah diteruskan, manakala bagi program-program peningkatan taraf hidup rakyat juga perlu diperkemas dan diperluaskan.

“Tahun 2020 juga merupakan tahun terakhir bagi Rancangan Malaysia ke-11.Untuk tempoh lima tahun akan datang beta begitu mengharapkan agar kerajaan negeri dapat merangka satu pelan yang berlatarbelakangkan model rangsangan ekonomi agar pertumbuhannya dapat dicapai melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang dirancang,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini. Titah ucapan baginda diedarkan atas perkenannya kepada semua 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir.

Ia selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 56, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah iaitu Raja Pemerintah boleh menyampaikan titah di dalam DUN atau menghantar titah kepada Sidang Dewan.

Selain itu, Sultan Kedah bertitah kerajaan negeri perlu berperanan melalui jabatan dan agensi sedia ada untuk memudah cara peniaga kecil membina semula perniagaan serta membantu keluarga yang hilang sumber pendapatan supaya mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Baginda juga meminta kerajaan menyalurkan bantuan tepat kepada golongan sasaran dan berharap golongan terkesan bersikap jujur dan ikhlas bahawa mereka adalah golongan sebenar memerlukan bantuan.

Mesyuarat DUN Kedah hari ini berlangsung selama 25 minit dan sebagai mematuhi panduan jarak sosial minimum satu meter di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kehadirannya terhad kepada ADUN dan pegawai-pegawai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) sahaja.

Menurut kenyataan pejabat Menteri Besar hari ini, kerajaan meneruskan mesyuarat itu bagi mengelak berbangkit masalah undang-undang sekiranya Mesyuarat Pertama melepasi tempoh enam bulan daripada mesyuarat sebelumnya, seperti termaktub di bawah Perkara 53 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah.

Dalam pada itu, baginda turut berpesan kepada semua rakyat agar berdisiplin dan bertanggungjawab  mematuhi PKP demi kesejahteraan dan keselamatan semua dalam usaha memutuskan rantaian penularan wabak terbabit.

Pada mesyuarat itu juga, satu usul telah dibentangkan iaitu Laporan Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Kedah.

— BERNAMA