Yayasan Telugu Malaysia yang diterajui oleh Datuk R. Kantharao Ackunaidu menyumbangkan makanan kepada warga asing di kawasan PKPD di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Pada mulanya, selepas pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Malayan Mansion dan Selangor Mansion di Jalan Masjid India, keadaan di situ agak terkawal.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, keadaan di situ agak kelam kabut dan kecoh kerana rata-rata penghuni yang tinggal di kedua-dua blok itu tidak mempunyai kemudahan dapur malah kebanyakan penghuni menggunakan ruang dapur sebagai tempat tidur.

Dua blok bangunan di Masjid India yang dipercayai dihuni hampir 100 peratus warga asing khasnya dari India, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan Pakistan itu dipercayai antara lokasi penularan pandemik Covid-19 sejak 7 April lepas.

Malahnya kedua-dua blok bangunan ala ‘rumah kedai’ itu sebenarnya terletak dalam jarak lingkungan 500 meter dari lokasi Plaza City One yang lebih awal dikenakan PKPD bermula 31 Mac lalu.

Keadaan padat dan ‘terkurung’ itu menyukarkan penghuni di kawasan itu mendapatkan makanan malah walaupun kerajaan telah meminta kedutaan masing-masing untuk mengambil tanggungjawab menjaga rakyat masing-masing di kawasan itu.

Namun kebanyakan kedutaan negara terbabit di sini mengambil masa sehingga lebih tiga hari untuk membuat keputusan menyalurkan bantuan tersebut.

Malah ada juga laporan mengatakan rata-rata penghuninya tertekan tanpa makanan dan mula bertindak agresif sehingga membaling barang ke atas petugas keselamatan yang berjaga di bawah bangunan.

Ini telah menyebabkan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Menteri, Tan Sri Annuar Musa tampil membantu golongan itu termasuk orang perseorangan, ahli korporat dan juga badan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang awal tampil membantu dengan menyalurkan bantuan makanan termasuklah Yayasan Telugu Malaysia yang diterajui oleh Datuk R. Kantharao Ackunaidu.

Beliau melalui yayasan yang sama telah menyediakan beribu-ribu bungkusan makanan untuk makan tengah hari dan malam setiap hari bermula 8 April lepas.

“Ini adalah satu tanggungjawab sosial, yang penting kumpulan ini mendapat makanan pada masa-masa genting lagi-lagi apabila mereka tidak mampu menyediakan makanan mereka sendiri.

“Warga asing atau tidak, ketika itu mereka manusia yang perlu isi perut mereka. Kita tidak boleh biarkan mereka berlapar.

“Kita bersyukur dapat bantu mereka, terima kasih juga kepada Kementerian kerana beri peluang kepada Yayasan Telugu untuk berkhidmat.

“Ramai juga yang tampil membantu bagi memastikan makanan sentiasa ada dari pagi sehingga waktu malam, rakyat Malaysia bersama-sama tangani isu wabak pandemk ini,” katanya.

Sebelum ini,  Annuar Musa juga mendedahkan pelbagai NGO dan syarikat korporat dan swasta tampil dengan pantas menyediakan beribu-ribu paket makan hampir setiap hari bagi penghuni-penghuni yang mencecah sehingga 6,000 penghuni. –MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Covid-19: Annuar hilang sabar sikap kedutaan tak jaga rakyatnya