Bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Terdapat sebahagian kecil penerima B40 yang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diluluskan tetapi belum menerima pembayaran berkenaan.

Ini kerana, mereka tidak mempunyai akaun bank atau bayaran BPN gagal dikreditkan ke dalam akaun mereka, kata Kementerian Kewangan.

Sehubungan itu, penerima berkenaan boleh menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 April 2020 sehingga 31 Disember 2020.

Untuk senarai cawangan yang dibuka atau maklumat lanjut, penerima boleh melayari laman web BSN di www.mybsn.com.my.

Penerima yang ke cawangan BSN perlu membawa kad pengenalan masing-masing, dan dinasihatkan agar mematuhi penjarakan sosial serta arahan kesihatan dan keselamatan dari anggota polis dan RELA yang bertugas.

Kementerian itu berkata, sehingga 17 April 2020, kerajaan telah menyalurkan BPN kepada 6.5 juta penerima golongan berpendapatan rendah (B40), melibatkan bayaran melebihi RM4.8 bilion.

Inisiatif di atas adalah hasil dari langkah Prihatin di bawah matlamat Lindungi Rakyat, bagi memastikan kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada masyarakat B40 yang amat memerlukannya, terutamanya dengan lanjutan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April 2020.

Menurutnya, kerajaan berharap agar bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kehidupan golongan ini. – MalaysiaGazette