Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim (kiri) menyampaikan sumbangan UTeM Shield kepada pihak korporat dan agensi kerajaan Melaka hari ini.- Gambar UTeM.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyerahkan sumbangan lebih 1,000 pelindung muka yang dikenali sebagai UTeM Shield kepada sektor korporat dan agensi kerajaan di Melaka hari ini.

Majlis penyerahan UTeM Shiled tersebut telah berlangsung di Bangunan Canselori, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal yang disampaikan sendiri oleh Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Raha Abdul Rahim kepada wakil-wakil pihak terbabit.

Dr Raha berkata, ini adalah antara inisiatif pihaknya memberikan sumbangan UTeM Shield yang mereka hasilkan sendiri menggunakan teknologi dan kepakaran yang dimiliki.

Jelasnya, UTeM Shield diserahkan kepada pihak perbankan yang terdiri daripada Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat serta Bank MBSB.

Katanya, setiap bank berkenaan menerima 100 unit UTeM Shield yang boleh diguna pakai oleh petugas mereka sewaktu berurusan dengan orang ramai selari dengan musim penularan pandemik kini.

“Selain itu sebanyak 100 unit UTeM Shield turut diserahkan kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) manakala seratus unit juga untuk pihak industri iaitu syarikat Konica Minolta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Raha, pada majlis yang sama kami turut mernyerahkan sebanyak 200 unit kepada setiap Pusat Kuarantin di negeri Melaka yang bertempat di CREATE JKR Alor Gajah dan sebuah lagi bertempat di salah sebuah hotel di Ayer Keroh.

“Pelindung muka yang dinamakan UTeM Shield itu dihasilkan sepenuhnya di Makmal Teknologi Plastik, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTeM yang kini mempunyai mesin industri bertaraf dunia.

“UTeM Shield ini dihasilkan oleh pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTeM itu direka dengan menggunakan kaedah teknikal dan teknologi acuan suntikan plastik.

“Reka bentuk rangka utama UTeM Shield ini dibangunkan susulan perbincangan dan maklum balas bersama pegawai perubatan dari Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan negeri bagi memastikannya memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seterusnya mengurangkan risiko jangkitan terhadap pasukan hadapan CovidD-19,” katanya.

Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut adalah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM, Prof. Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Nurulfajar Abd Manap, Penolong Naib Canselor Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti UTeM, Prof. Madya Mohd Rahimi Yusoff serta Bendahari UTeM, Khairul Taib.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast