Foto hiasan

PUTRAJAYA – Sehingga kini tiada penghantar makanan e-hailing yang direkodkan positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Kementerian  Kesihatan (KKM) baru menetapkan agar semua penghantar makanan menjalani saringan kesihatan untuk memastikan mereka bebas daripada jangkitan wabak itu semasa bertugas.

“Setakat ini kita tidak ada data lagi untuk mengatakan jumlah mereka yang positif tetapi apa yang pasti kita akan laksanakan satu ujian untuk mereka iaitu ujian saringan boleh dijalankan sama ada di klinik kesihatan atau di klinik swasta untuk memastikan mereka sihat, tidak menjangkiti ataupun dijangkiti semasa menghantar makanan.

“Setakat ini kalau kita lihat untuk KKM, pengendali makanan perlu mendapatkan kelulusan daripada KKM itulah standard yang kita ada. Sekarang kita pertimbangkan untuk mendapatkan semua penghantaran makanan melalu saringan kesihatan.

“Jadi kalau mereka didapati sihat baru mereka dibenarkan untuk menghantar makanan,” katanya pada sidang media harian mengenai penularan wabak Covid-19 hari ini.

Ujarnya, kelebihan penghantar makanan untuk syarikat e-hailing berdaftar ialah kos ujian saringan mereka ditanggung syarikat.

“Kalau mereka syarikat yang berdaftar, jadi syarikat itu bertanggungjawab kepada pekerja, jadi pembayaran mungkin syarikat itu tapi apa yang pasti adalah kita galakkan mereka datang ke klinik untuk disaring. Kerana seorang boleh menjangkiti yang lain ataupun boleh dijangkiti,” tambahnya.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM akan membincangkan garis panduan bagi wakil rakyat yang mahu mengagihkan makanan di kawasan tertentu sebelum ia diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Perkara ini kita akan teliti dan bincang bersama dan mungkin akan diputuskan okeh Majlis Keselamatan Negara,” katanya lagi.

Hari ini tular di media sosial gambar Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Bagan Serai itu dilihat berkumpul dengan beberapa orang di Maahad Tahfiz di Lenggong.

Malah beliau turut makan beramai-ramai tanpa mengamalkan penjarakan sosial seperti yang disarankan KKM. – MalaysiaGazette