Gambar Ustaz Ebit Lew tidur di sebalik timbunan kampit beras menyentuh perasaan ramai netizen.

KUALA LUMPUR – Pendakwah Islam, Ustaz Ebit Lew dikenali ramai dengan usaha membantu golongan memerlukan termasuk ketika negara berhadapan dengan Covid-19..

Baru-baru ini dalam hantaran di media sosialnya, gambar beliau tidur di sebalik timbunan kampit beras menyentuh perasaan ramai netizen.

“Pohon doa semua yer..nak rehat dulu. Orang tanya saya kenapa ustaz buat semua ini. Syukur semuanya kerana Allah. Cuma nak Allah sayang. Allah sayang. Tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah,” katanya dalam media sosialnya.

Menurut Ebit, sebelum ini, dia sudah biasa susah dan kini sangat terkesan dengan kesusahan yang dialami masyarakat kerana ketiadaan kerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Dulu-dulu, saya susah. Kadang ada orang selit RM2 dalam poket, rasa happy sangat. Selalu lapar dan susah. Satu hari Allah beri rezeki saya mencurah-curah. Duit gaji pertama saya beri pada emak, ayah saya.

“Setiap bulan saya beri pada mak semuanya di kampung. Emak ingat saya ada duit lain. Dulu selalu tidur masjid jer. Saya selalu menangis bila lapar tapi saya doa hidayah. Menangis kuat-kuat dalam doa minta hidayah.

Best menangis dalam doa. Nikmat rasanya. Ubat bila sedih dan penat. Mak selalu cakap dulu ada orang sayang kita, sekarang giliran kita sayang orang lain. Takpa orang buat kita, jangan kita buat orang,” katanya lagi.

Menurut selepas bekerja dan terlibat dalam perniagaan restoran, buku motivasi, menjual jubah dan mengadakan seminar motivasi, rezekinya bertambah dan kini mempunyai 56 pekerja.

“Saya dari dulu buat kerja khidmat masyakat ini dari umur 12 tahun kerja dakwah dan khidmat masyarakat masuk pedalaman menyebarkan kasih sayang dan mengajak kepada kebaikan dan jamu orang makan.

“Sabtu, Ahad dan cuti sekolah tak pernah duduk rumah. Cuti sekolah sebulan duduk di pedalaman, hutan,gunung yang ada manusia. Berkongsi rezeki dan nasihat yang baik. Seronok masa tu baru benar-benar belajar Islam, solat dan akhlak Nabi SAW,” tulisnya lagi.

Menurutnya, penularan Covid-19 membuatkannya risau dan sebakk dan merasakan ia adalah waktu menggunakan sebanyak mungkin rezeki dan tenaga yang Allah beri untuk membantu orang lain.

“Diri, harta, masa semuanya milik Allah. Mungkin cuma sekali ini peluang Allah beri pada saya. Siapa tahukan? Syukur ramai juga kawan-kawan dari merata tempat bersama saya dengan doa, sokongan, tenaga dan juga wang ringgit.

“Dari pelbagai bangsa dan agama. Kita semua sebuah keluarga. Biarlah kita semua menjadi sebuah keluarga dan satu hati ini akan menarik rahmat Allah. Semoga Allah terima semuanya jadi asbab kebaikan dan hidayah seluruh alam. Semoga Allah angkat Covid-19 ini.

“Saudaraku di sebalik ujian ada rahmat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast