KERAJAAN yang diterajui oleh PN disaran melancarkan satu dasar baru dikenali sebagai Dasar Kemajuan Bumiputera dan pada masa sama kementerian baru yang boleh dipanggil sebagai Kementerian Kemajuan Bumiputera.
Ataupun atas nama penjimatan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar boleh dijenamakan semula menjadi Kementerian Kemajuan Bumiputera.
Susun semula dan tempatkan semua agensi-agensi yang ada yang berkaitan dengan kepentingan bumiputera di bawah kementerian ini.
Jadikan Dasar Kemajuan Bumiputera itu sebagai asas pembentukan strategi dan inisiatif strategik untuk memajukan orang Melayu dan bumiputera baik di desa mahupun bandar.
Lantik seorang yang berjiwa Melayu kental, berintegriti, berpendidikan dan berwawasan jauh iaitu dalam konteks memajukan orang Melayu dan bumiputera sebagai menterinya.
Kementerian ini wajib memastikan semua agensi di bawahnya mencapai setiap objektif dan KPI yang ditetapkan. Laporan pencapaian perlu sampai ke tangan setiap orang Melayu dan bumiputera khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
Untuk berkhidmat di kementerian ini dan agensi-agensinya mestilah mereka yang berjiwa Melayu/bumiputera kental dan berintegriti terpuji di samping berakhlak mulia. Mereka mestilah orang yang tabah, sabar dan sanggup turun ke bawah menyantuni orang Melayu dan bumiputera.
Di masa sama, kementerian ini wajib menjadi pemantau utama kepada KPI berkaitan orang Melayu dan bumiputera di kementerian atau agensi lain baik dalam apa bidang sekalipun contohnya ekonomi dan perniagaan, keusahawanan, pertanian, pendidikan, sains dan teknologi dan sebagainya.
Pendekatan lama meletakkan agenda membantu orang Melayu dan bumiputera menerusi dasar seperti DEB telah terbukti tidak berjaya sepenuhnya. Walaupun demikian sumbangan DEB kepada orang Melayu khususnya dan negara amnya tidak dapat dinafikan.
Namun iaitu selepas DEB berakhir, pendekatan menyelit-nyelitkan agenda kemajuan bumiputera ini dalam pentadbiran negara sekarang iaitu tanpa keberanian menzahirkannya dengan nyata akan menjadi sia-sia sahaja.
Orang Melayu dan pemimpin Melayu tidak perlu takut dengan kecaman mereka yang menentang. Sesungguhnya memajukan orang Melayu dan bumiputera itu adalah satu kewajiban buat kerajaan kerana majoriti rakyat negara ini adalah orang Melayu dan bumiputera dan golongan ini masih tercicir.
Kerajaan harus berani menyatakan dengan jelas akan keperluan membentuk Dasar Kemajuan Bumiputera dan Kementerian Kemajuan Bumiputera ini berasaskan hujah selagi orang Melayu dan bumiputera tidak setaraf dengan bangsa lain yang lebih berjaya, selagi itu persaingan secara meritokrasi tidak akan dapat dilakukan.
Sekiranya mereka menggunakan alasan bahawa sudah 60 tahun lebih orang Melayu dibantu, maka katakanlah kepada mereka hatta 100 tahun lagi jika perlu dibantu akan dibantu.
Katakanlah kepada mereka dengan tegas dan berani iaitu sekiranya suatu hari nanti bangsa mereka pula tercicir, perkara sama akan kerajaan iaitu jika kerajaan masih diterajui oleh orang Melayu lakukan kerana bangsa Melayu telah terbukti bukan bangsa yang suka menindas dan suka melihat bangsa lain tertindas.
Sesungguhnya inilah sebaik-baik peluang yang ada pada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kabinetnya dalam usaha menunaikan kewajiban mereka dalam mengembalikan akan hak itu kepada yang berhak dan dalam konteks ini hak orang Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan negara atau lebih baik daripada itu.
Pada masa yang sama, sekiranya ada bangsa lain yang susah dan terpinggir maka wajib dibantu sama. Jadikanlah Dasar Kemajuan Bumiputera ini dan Kementerian Kemajuan Bumiputera sebagai payung kepada semua yang terpinggir dan tidak bernasib baik.
Akhir kata, pemimpin Melayu perlu berani menzahirkan dirinya dalam perjuangan membela agama, bangsa dan tanah airnya. Di masa yang sama kekal budiman dan berhikmah dalam menyantuni kepentingan lain-lain bangsa dengan seadil-adil dan sebaik-baiknya.
Oleh: Prof. Dr. Haim Hilman
Professor Pengurusan Strategik, UUM