KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran ditahan oleh polis atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Rakaman suara ringkas yang dikongsi salah seorang pegawai wakil rakyat PKR itu mendakwa Prabakaran ditahan semasa berada di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang yang kini diisytihar sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) keenam di negara ini.
Difahamkan, Prabakaran kini dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Sentul untuk tujuan disoal siasat.
“YB Prabakaran sedang pergi ke IPD Sentul ditemani seorang pengikut dan diikuti oleh Polis untuk disoal siasat,” kata pegawainya secara ringkas.
Terdahulu wakil rakyat itu dilihat melawat ke kawasan PKPD itu yang ditutup dengan kawat duri tentera sejak awal pagi tadi.
“Hari ini saya sebagai Ahli Parlimen Batu, satu news tergempar penduduk start panggil saya sejak 5 pagi dan meklumkan bahawa PKPD tentera telah ambil alih memasang kawat duri di kawasan Selayang.
“Jadi, saya datang pantau dan saya juga telah berbincang dengn Ketua Polis Daerah Sentul mengenai pelaksanaan Prosedur Operasi Standard PKPD dan semua berjalan lancar,” ujarnya.-MalaysiaGazette