Foto hiasan

BATU PAHAT – Mujur masih ada yang bersimpati, jika tidak seorang warga emas yang menyewa di satu sudut sebuah warung dengan sewaan RM1 sebulan, di Jalan Sultanah di sini, pastinya tiada tempat tinggal.

Namun perkara yang menyedihkan lagi, sudut warung terbabit yang layaknya dipanggil sebagai stor itu, keadaannya umpama ‘tongkang pecah’ kerana tidak terurus.

Mohd Hatta Bakar berkata, dia telah tinggal di stor warung itu selama 15 tahun dan berterima kasih kepada pemilik warung yang mengizinkannya tinggal di situ.

Menurut warga emas berusia 60 tahun itu, dia tidak lagi mempunyai saudara mara dan hanya mengharapkan pendapatan sebagai tukang cuci pinggan di sebuah kedai makan yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari warung tempatnya tinggal.

“Saya diberikan gaji sekitar RM10 hingga RM15 sehari, bagaimanapun untuk masa sekarang ini dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tiada pendapatan apabila tempat saya bekerja tidak dibuka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Mohd Hatta, walaupun kadar sewaan ‘bilik’ tempat tinggalnya itu hanya RM1 sebulan, akibat tidak bekerja dia tidak mampu untuk membayarnya bagi bulan Mac serta bimbang tidak dapat melunaskan sewa untuk bulan yang seterusnya.

Dalam tempoh berkenaan jugalah dia terpaksa mengikat perut setelah wang gajinya sebelum ini telah habis, selain mengharapkan sumbangan dan bantuan daripada orang ramai.

“Saya memang tidak pernah meminta bantuan daripada mana-mana agensi kebajikan kerana tidak mengetahui caranya serta selama ini tidak pernah mendapat bimbingan daripada sesiapa untuk mendapatkan bantuan terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat Mohd Hamidi Mad Tap berkata pihaknya akan cuba membantu warga emas berkenaan dengan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan susulan.

“Pihak saya juga akan cuba berhubung dengan Bengkel Sampul Surat yang juga tempat bagi penerima bantuan JKM ini bekerja bertujuan menempatkan Mohd Hatta, memandangkan bengkel terbabit turut menyediakan tempat tinggal yang lebih selesa,” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan keperluan harian dan turut menyelesaikan sewa Mohd Hatta.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan termasuklah makanan boleh berhubung dengan Biro Kebajikan Umno Bahagian Batu Pahat memandangkan Mohd Hatta tidak mempunyai telefon bimbit serta akaun bank.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast