Seorang petugas sedang menjalankan ujian saringan ke atas seorang lelaki di Los Angelas. foto Agensi

LOS ANGELES – Sebanyak 4.1% golongan dewasa diuji positif untuk antibodi koronavirus dalam kajian penduduk di sini – menunjukkan kadar jangkitan mungkin 40 kali lebih tinggi daripada jumlah kes yang disahkan.

Ujian serologi yang dilakukan oleh penyelidik University of Southern California ke atas 863 orang menunjukkan kadar kematian akibat pandemik mungkin lebih rendah daripada yang difikirkan sebelumnya tetapi penyakit pernafasan dapat disebarkan lebih luas oleh individu-individu yang tidak menunjukkan gejala.

“Kami belum mengetahui tahap sebenar jangkitan Covid-19 dalam komuniti kerana kami hanya menguji individu yang mempunyai gejala dan ketersediaan ujian terhad,” kata Neeraj Sood, seorang Profesor Dasar Awam di USC.

Sekurang-kurangnya 17 kematian tambahan dicatatkan di Los Angeles pada hari Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 600, dengan lebih dari 12.300 kes positif, menurut laporan Reuters.

Daerah ini memiliki 8 juta orang penduduk.

Keputusan ujian di Los Angeles didedahkan selepas ujian antibodi yang dijalankan sebelum ini disiasat ekoran sejumlah besar positif palsu dilaporkan dalam ujian kit

Kajian serupa juga dilakukan di Santa Clara minggu lalu oleh seorang penyelidik Universiti Stanford, menyebabkan beliau dikritik kerana metodologi dan ukuran sampelnya.

Di New York pula ujian antibodi dilaksanakan ke atas 3,000 orang.

Ujian antibodi, menggunakan teknologi ELISA, selalunya tidak dapat mengesan jangkitan peringkat awal tetapi menunjukkan sama ada seseorang itu mempunyai virus pada masa lalu, walaupun individu tersebut tidak mengalami gejala.

Sebagai perbandingan, ujian RT-PCR pula yang digunakan di seluruh negara menentukan sama ada seseorang itu mempunyai virus pada ketika itu dengan mengenal pastinya melalui rembesan hidung atau tekak.

Kedua-dua ujian dilihat adalah kritikal dalam membendung koronavirus, tetapi ujian antibodi dilihat sebagai cara yang cukup murah dan cepat untuk mengenal pasti populasi dalam kumpulan risiko dan mengukur penyebaran virus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast