LONDON – Kesatuan Persekutuan Bola sepak Eropah (UEFA) merangka pelan tergempar bagi menamatkan baki saingan Liga Juara-Juara Eropah yang masih tergantung akibat Covid-19 pada Ogos ini.
Bagi tujuan itu, badan pemantau bola sepak Eropah itu dilaporkan sedang mengusahakan rancangan terbaharu bagi menamatkan baki 17 aksi yang masih tergantung dalam tempoh tiga minggu ataupun 23 hari.
Meskipun majoriti liga domestik di benua Eropah masih tergantung tanpa mengetahui tarikh tetap kembali semula, UEFA sedang berusaha menetapkan tarikh untuk meneruskan semula temasya yang tergantung separuh jalan secepat mungkin.
Ekoran berita itu, Manchester City dan Chelsea berpeluang untuk kembali beraksi dalam perlawanan timbal balik menentang Real Madrid dan Bayern Munich pada 7 Ogos ini.
Dalam pada itu, aksi suku akhir ditetapkan pada 11-15 Ogos diikuti separuh akhir 18 hingga 22 Ogos dan aksi akhir pada 29 Ogos ini.
Skuad Pep Guardiola mempunyai kelebihan mara ke separuh akhir selepas berjaya menjinakkan Real Madrid di Santiago Bernabeu 2-1 hasil jaringan Gabriel Jesus dan Kevin De Bruyne dan diramal tidak berdepan masalah dalam aksi timbal balik di Stadium Etihad.
Chelsea selepas dibelasah 3-0 di Stamford Bridge oleh Bayern, aksi timbal balik diramal sebagai ujian untuk skuad Frank Lampard melakukan kebangkitan di halaman Bayern Munich.- MalaysiaGazette