Oleh NUR HAIRANI ABD RAHMAN
SYUKUR trend jangkitan Covid-19 di Malaysia menunjukkan penurunan yang siginifikan. Terima kasih petugas barisan hadapan. Terima kasih kerajaan. Terima kasih rakyat Malaysia. Anda semua adalah wira negara. Wira menentang musuh yang sama. Yang satu – Novel Coronavirus atau Covid-19.
Perang global ke atas Covid-19 sudah diisyitharkan. Tapi apa strategi peperangan kita? Penjarakan sosial, kebersihan diri, topeng muka dan patuh arahan.
Rata-rata rakyat kita sedar dan patuh pada kesemua strategi ini dek kerana kempen-kempen yang dijalankan hampir setiap hari sama ada di kaca televisyen, saluran media elektronik, platform media sosial dan tidak ketinggalan juga teks mesej yang dihantar menerusi telefon bimbit.
Di saat kita berusaha bertungkus-lumus menentang Covid-19, kekurangan dan kesusahan orang lain tidak seharusnya diketepikan. Prihatin terhadap kesusahan orang lain di saat kita diuji adalah sangat membanggakan. Mangsa Covid-19 bukan sahaja kepada pesakit yang dijangkiti, tapi kita semua.
Cuba perhati. Banyak premis perniagaan seperti pasaraya melaksanakan penjarakan sosial. Kita perlu beratur menunggu giliran untuk membeli barang dan dinasihatkan untuk menyelesaikan urusan pembelian secepat mungkin. Kepada yang sihat tubuh badan, ini bukan satu masalah. Namun kepada warga emas, tidak sihat dan kurang berkemampuan, bagaimana mereka menjalani kehidupan ketika PKP?
Begitu juga golongan B40. Ada diantara kita yang masih bekerja dengan pendapatan harian sebelum PKP. Namun ketika PKP dilaksanakan, majoriti mereka tidak boleh bekerja. Dengan kata lain, tiada pendapatan. Bagaimana mahu menanggung keluarga, membeli makanan dan membayar keperluan harian? Pernah dilaporkan beberapa kali kesengsaraan hidup segelintir individu dan keluarga ketika penularan Covid-19 dan PKP. Wang simpanan tinggal sedikit atau sudah habis sehingga memaksa mereka memasak bubur untuk mengalas perut seisi keluarga. Tiada istilah pemakanan seimbang atau makanan lazat untuk mereka sekeluarga.
Bagaimana pula mereka yang berada di institusi kebajikan? Rumah jagaan warga emas, rumah anak-anak yatim? Pasti berhadapan situasi kesempitan yang sama. Cukupkah makan minum mereka? Keperluan harian mereka? Selesakah mereka?
Kita mungkin ‘terperangkap” di rumah sendiri disebabkan PKP. Tapi keadaan kita masih selesa. Tambah lagi internet percuma dan diskaun bil elektrik yang diberikan kerajaan. Lebih mengembirakan lagi dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga di rumah kerana dasar sementara kerajaan yang mengarahkan kita untuk bekerja dari rumah. Jadi jimat masa perjalanan yang digunakan untuk ke tempat kerja, lebih-lebih lagi di kawasan bandar. Lega buat sementara waktu daripada kesesakan lalu lintas.
Meskipun tidak wajar kita membuat perbandingan tapi naluri kemanusiaan kita tidak dapat lari daripada melihat kehidupan orang lain. Kadang-kala sayu melihat kehidupan orang lain yang tidak seselesa kita. Prihatin dengan kesukaran orang lain, ramai di antara kita menghulur bantuan kewangan, barang makanan dan keperluan-keperluan lain. Keprihatinan dan tanggungjawab sebagai manusia menjadikan kita tidak lokek untuk berkongsi rezeki.
Pada masa yang sama juga, bantuan kewangan daripada kerajaan kepada kumpulan warga emas, kumpulan B40 dan kepada mereka yang memerlukan turut membantu mereka yang dalam kesempitan. Diharapkan dengan bantuan tersebut, sedikit-sebanyak mengurangkan beban yang dialami ketika ini.
Semoga kita-kita bersama-sama menggalas tanggungjawab ini. Tanggungjawab ini bukan sahaja kepada pihak kerajaan, tapi kita juga mampu untuk membantu. Membantu sekadar yang mampu. Kita kan rakyat Malaysia. Kita kan terkenal dengan sikap pemurah dan suka membantu. Membantu tanpa diskriminasi. Ini lebih memambanggakan.
Mungkin perang ke atas Covid-19 berlanjutan sehingga tahun hadapan. Walau apa keadaan sekalipun, kita jangan mengalah. Bersama kita tentang sampai kita menang. Tapi sampai bila? Sampai kita yakin covid-19 bukan lagi ancaman kesihatan kepada penduduk dunia. Jadi, bertahan sehingga kita menemukan vaksin, senjata menentang Covid-19. Sehingga kita mengucapkan selamat datang kepada kehidupan norma baru. Semoga berjaya rakyat Malaysia!
— NUR HAIRANI ABD RAHMAN Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya