LONDON – Liga Perdana Inggeris (EPL) didesak oleh rakan kongsi penyiaran terbesar luar negaranya supaya menyiasat mengenai proses pengambilalihan kelab Newcastle United dengan nilai £300 juta pound.
Ketua Eksekutif stesen penyiaran televisyen yang berpusat di Qatar beIN Sport, Yousef al-Obaidly telah menulis surat kepada pengerusi liga kelab gergasi mengenai proses tawaran pengambilalihan kelab itu.
Proses itu bakal menyaksikan kelab Magpies itu akan dimiliki oleh pengerusi konsortium Saudi Aramco iaitu sebuah syarikat pengeluar petroleum terbesar dunia.
Dalam surat itu, Al-Obaidly mendakwa kerajaan Arab Saudi telah menyamun hak komersial Liga Perdana Inggeris sejak tiga tahun lalu dan pengambilalihan terbaharu akan terus menyebabkan pemilik Aramco kebal dan secara tidak langsung menyokong kegiatan haram eoutQ pirate service.
“Adalah tidak berlebihan untuk mengatakan di sini bahawa model ekonomi bola sepak masa depan dipertaruhkan,” tambah Al-Obaidly yang juga telah menulis surat kepada ketua eksekutif Liga Perdana, Richard Masters.
Dia juga mendakwa penyiar beoutQ menyiarkan segala perlawanan bola sepak secara haram tanpa hak perlesenan sah khususnya di Arab Saudi walaupun hak penyiaran di rantau itu dimiliki beIN Sports.
Pihak berkuasa bola sepak pada tahun lalu telah cuba menutup operasi haram beoutQ.
Namun penyiar Saudi iaitu Arabsat sentiasa menolak dakwaan bahawa beoutQ menggunakan frekuensinya untuk menyiarkkan perlawanan bola sepak secara haram dan mendakwa beIN cuba memfitnah kempen tersebut.- MalaysiaGazette