Skrin yang memaparkan jadual waktu perjalanan perkhidmatan bas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

SEMALAM kerajaan mengumumkan sedia membenarkan pelajar yang masih berada di kampus universiti untuk pulang ke kediaman atau kampung halaman semestinya menggembirakan pelajar yang terlibat. Mereka ini sebenarnya sudah lama ingin pulang ke kampung halaman tetapi ‘terkandas’ di kampus kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan Kerajaan mulai 18 Mac lalu.

Sedar tak sedar sudah lebih satu purnama mereka berada di kampus samada tinggal di kolej kediaman atau tinggal menyewa diluar. Tetapi satu purnama tidak berjumpa ibu-bapa angkara Covid-19 amat berbeza sekali jika ingin dibandingkan dengan sebulan dua tidak pulang ke kampung kerana sibuk dengan jadual pengkuliahan dan aktiviti dikampus.

Penulis merupakan salah seorang Felo Penghuni Kolej Kediaman di universiti penulis berkhidmat, justeru dapat melihat dan memantau rutin seharian para pelajar ini. Seperti mana di universiti lain, kebajikan pelajar khususnya di kolej kediaman sentiasa dijaga dengan baik, soal makan minum, kesihatan, keperluan diri sentiasa dipastikan mencukupi sepanjang PKP ini. Ada waktu penulis akan curi-curi sedikit masa mereka semasa mengambil makanan di kafeteria kolej untuk menyelami perasaan mereka terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga kerana wabak ini.

Jawapan pertama yang terpacul ialah rindu sangat pada kampung halaman dan ingin pulang cepat jika dibenarkan. Bagi penulis, mujurlah teknologi komunikasi kini lebih canggih dan liputan internet sudah meluas, jika tidak makin terganggu emosi dan perasaan mereka. Handphone kini tidak lagi terbatas pada sekadar boleh membuat panggilan dan menghantar pesanan ringkas (SMS). Dengan pelbagai aplikasi yang tersedia misalnya WhatsApp, dengan hujung jari sahaja sudah boleh menghantar pelbagai gambar dan video dengan pantas, malah boleh juga berbual-bual menerusi panggilan video secara berkumpulan.

Itulah yang ‘mendekatkan’ jarak mereka yang jauh dengan ahli keluarga. Bagi ibu-bapa, dapatlah mengubati kerinduan dan mengurangkan kerisauan yang bersarang pada anak tersayang kerana setiap hari sentiasa boleh bertanya khabar dan melihat raut wajah mereka yang berada di kampus.

Apabila Kerajaan beri lampu hijau untuk benarkan mereka pulang ke kampung, penulis meyakini setiap universiti sebenarnya telah bersedia dengan perancangan masing-masing untuk menghantar para pelajar pulang dengan selamat. Penulis dimaklumkan ada universiti yang telah membuat survey awal kepada para pelajar mereka untuk mendapatkan input pergerakan pulang ke kampung misalnya negeri yang dituju, pulang dijemput ibu-bapa/penjaga, balik menggunakan kenderaan sendiri, menaiki bas universiti, kapal terbang atau pengangkutan awam.

Pastinya perancangan yang telah dibuat oleh universiti akan disesuaikan dengan langkah yang akan diputuskan Kerajaan kelak. Ini kerana menerusi sidang media semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Kanan (Keselamatan) menegaskan bahawa pergerakan pulang tersebut akan dilakukan dengan pematuhan operasi standard (SOP) yang ketat termasuk saringan kesihatan.

Para pelajar semasa yang berada di kampus ini ‘bersih’ dari Covid-19, justeru atas sebab itu penulis berpandangan Kerajaan mahukan proses mereka pulang itu dibuat secara berhati-hati dengan langkah perlindungan dan keselamatan tertinggi kerana tidak mahu mereka dijangkiti disepanjang perjalanan pulang ke kampung sekaligus mengelakkan wujudnya kluster baharu jangkitan Covid-19.

Nampaknya ada sinar cerah mereka dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta tahun ini. Tiadalah lagi mereka terbayang suasana berjujuran air mata mendengar Dendang Perantau nyanyian seniman Tan Sri P. Ramlee di pagi 1 Syawal sambil merenung jauh dari tepi jendela asrama.

 Oleh: Mohd Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast