Warga asing hadir bagi menjalani saringan kesihatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2020

SELAYANG – Siapa sangka tahun ini seluruh dunia termasuk Malaysia dilanda wabak Covid-19 sehingga persiapan menyambut Ramadan esok juga dalam keadaan ‘suram’ berbanding sebelum ini.

Jika dahulu bazar-bazar Ramadan di merata-rata tempat dan umat Islam ramai mengambil peluang pulang ke kampung mahupun membeli belah bagi persiapan sahur – namun ‘permandangan’ itu sudah tidak kelihatan tahun ini.

Malah keadaan jauh lebih menyedihkan bagi golongan yang terjejas teruk dengan Covid-19 dan mereka yang ‘terkurung’ di lokasi yang diisytiharkan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

MalaysiaGazette yang sempat menemuramah beberapa penduduk di Taman Sri Murni, Selayang di Pusat Bandar Utara lokasi terbaharu PKPD mendapati, masing-masing meluah kan rasa sedih mereka.

Penduduk, Wan Nur Betty Wan Nor Ghazali yang menjalani saringan kesihatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2020.

Kata Wan Nur Betty Wan Nor Ghazali, Ramadan kali dianggap suram dan tidak semeriah dahulu namun tetap bersyukur dirinya serta keluarga berada dalam keadaan sihat dan selamat.

“Ramadan? Ala kadar sahaja. Kami utamakan anak-anak dulu, masak apa yang termampu untuk anak-anak dulu, lagi dengan keadaan PKPD yang terbatas.

“Kalau ada tepung, buatlah sesuatu dengannya. Memang tidak sangka langsung semua ini kita akan lalui. Rumah sudah jadi seperti ‘penjara’. Kami hanya mahu kembali seperti dulu, dapat balik kampung dapat beraya seperti dulu,” katanya sayu.

Manakala Mohd Azhar Arif mengimbau kembali bagaimana saban tahun teruja menyambut kedatangan Ramadan bersama keluarganya.

Penduduk, Mohamad Azhar Arif di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2020.

“Saya akan membeli-belah, beli makanan untuk sekurang-kurangnya seminggu. Pada minggu pertama, mesti semua makanan yang terhidang untuk berbuka dan bersahur memang sedap-sedap.

“Semua yang anak-anak suka. Mereka juga ternanti-nanti tapi kali ini kita kurang makan dan berjimat cermat selagi boleh.

“Janji kami selamat dan semua ini segera berakhir,” katanya di luar perkarangan Taman Sri Murni selepas beliau bersama-sama keluarganya membuat saringan Covid-19.

Mohd Badri Hamza pula berharap supaya ada pihak-pihak di luar sana tampil memberikan sumbangan serta bantuan bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus ketika menunaikan ibadat puasa.

Penduduk, Mohd Badri Hamza bercakap kepada Malaysia Gazette susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Flat Sri Murni, Selayang, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 23 APRIL 2020

“Saya harap di luar sana supaya beri bantuan serta sumbangan makanan, pergerakan kami agak terbatas sukar bergerak jadi harap sangatlah dapat sedikit bantuan.

“Bantulah apa yang perlu, kalau boleh bukalah kedai di bawah ini supaya sekurang-kurangnya kami boleh beli barang bagi persiapan Ramadan, itu yang sebaiknya,” ujarnya. –MalaysiaGazette