foto: news.nestia.com

KUALA LUMPUR –  Seorang doktor Malaysia yang merupakan pakar runding neonatologi  di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Birmingham merupakan antara korban COVID-19 di United Kingdom dengan angka kematian kini menghampiri 20,000 kes.

Menurut Birmingham Women’s and Children’s NHS Foundation Trust dalam hantaran pada laman sesawang rasminya pada Jumaat menyatakan Dr Vishna Rasiah, 48, meninggalkan isterinya, Liza dan seorang anak perempuan, Katelyn.  Bagaimanapun, tempat asal mendiang di Malaysia belum dapat dipastikan.

“Beliau dihormati di seluruh Midlands menerusi peranannya sebagai Ketua Klinikal untuk rangkaian neonatal wilayah,” menurut hantaran yang dibuat sebagai penghormatan kepada mendiang semalam.

Neonatologi ialah satu cabang perubatan mengenai penjagaan dan rawatan bayi yang baharu lahir.

Ketua Eksekutif hospital itu, Sarah-Jane Marsh berkata, Dr Vishna seorang doktor yang hebat, pemimpin, rakan sekerja dan sahabat yang mempunyai minat mendalam terhadap penjagaan bayi dan keluarga mereka.

“Kehilangan beliau adalah sukar buat kebanyakan kami, terutamanya kepada sesiapa yang terlibat dalam penjagaan neonatal dan sudah tentu isteri dan anak perempuannya yang cantik,” katanya.

Sementara itu, pengarah perubatan hospital itu,  Dr Fiona Reynolds berkata, pemergian Dr Vishna adalah satu kehilangan besar dan memilukan buat mereka di sekeliling beliau.

“Amat menyedihkan kami kehilangan seseorang yang berbakat, berdedikasi dan dihormati seperti Vish.  Pemergian beliau bukan hanya dirasai oleh sahabat dan rakan sekerja di hospital kami tetapi ramai di seluruh Midlands yang pernah bekerja bersama beliau buat sekian lama,” kata Dr Reynolds.

Dalam hantaran penghormatan itu, isteri Dr Vishna, Liza berkata, suaminya merupakan seorang anak lelaki dan abang yang disayangi keluarganya di Malaysia dan Trinidad.

“Seluruh keluarganya amat bermakna buat beliau dan juga Katelyn. Vish cintakan kerjanya bagi beliau ia lebih daripada hanya sebagai satu pekerjaan dan rakan sekerjanya adalah sebahagian daripada keluarga kami.

Beliau melayan setiap pesakit dan keluarga seumpama keluarganya sendiri, saya amat berbangga dengan beliau, kata Liza. – Bernama