KENINGAU – Kemudahan akses internet di kawasan luar bandar khususnya pedalaman di Sabah menjadi punca kelemahan sistem Pembelajaran Dan Pengajaran Alternatif PDPA yang dilaksanakan bagi pendidikan rendah dan menengah.
Kelemahan capaian internet dan tiadanya akses internet menjadi punca murid dan pelajar luar bandar ketinggalan dalam alternatif pembelajaran tersebut.
Status hidup yang kurang pendapatan dan miskin tegar turut menyumbang kepada kecacatan inisiatif oleh Kementerian Pendidikan itu selain kurangnya minat untuk bersekolah.
Menurut Yusniyati Yusof, 42, PDPA tersebut mempunyai kelemahan dan kebaikannya.
“Bagi ibubapa benda ni (PDPA) ada baik buruknya, buruk dia adalah tidak semua ibubapa yang memiliki telefon bimbit yang dilengkapi dengan akses internet,” jelas ibu kepada tiga orang anak yang masih bersekolah rendah dan menengah.
Yusniyati turut mendakwa, kurangnya kemampuan ibubapa untuk memiliki telefon bimbit yang canggih turut menyukarkan komunikasi guru dengan murid atau pelajar.
“Kebanyakkan cikgu-cikgu bagi pengajaran dalam format PDF dan kadang-kadang ada ibubapa yang masih menggunakan telefon bimbit lama dan PDF tersebut tidak boleh dibaca.
“Dan mereka kerap meminta cikgu-cikgu terbabit menghantar semula format latihan dalam bentuk yang lebih mudah diakses,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini
Selain masalah capaian internet, sikap sambil lewa pelajar juga menyebabkan sesi pembelajaran PDPA tidak mencapai matlamat yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Bagaimanapun lain pula ceritanya bagi pelajar-pelajar di Sekolah Menengah Apin-Apin, Keningau.
Menurut guru tingkatan lima Sekolah Menengah Apin-Apin dekat sini, Charlotte Fay, 33, selain masalah akses internet di kawasan tempat tinggal pelajar, terdapat pelajar yang enggan terlibat dengan sesi pembelajaran PDPA terbabit.
“Terdapat empat masalah pelaksanaan PDPA yang dihadapi guru sekolah menengah, pertama adalah capaian internet pelajar di kawasan tempat tinggal.
“Kedua ada pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit dan mereka terpaksa berkongsi dengan ibubapa yang rata-ratanya berada di bawah paras kemisikinan.
“Yang ketiga apabila pelajar-pelajar yang sukar memahami pembelajaran yang sedang berlangsung.
“Tetapi yang amat menyedihkan saya pula adalah apabila terdapat kalangan pelajar yang ada akses internet namun memilih untuk tidak terlibat dan memilih untuk bermain permainan atas talian.
“Bila ditanya kenapa perkara tersebut berlaku, ada yang mengatakan sesi pembelajaran atas talian tidak menarik dan bosan,” jelasnya yang mengajar subjek matematik di sekolah tersebut.
Charlotte berkata beliau memahami masalah pemahaman yang dihadapi pelajar dan beliau telah mengusahakan cara mudah bagi pelajar namun sikap tidak endah pelajar jadi kekangan.
“Saya telah mencari video-video untuk pelajar muat turun dan dari video tersebut mereka boleh cuba memahami.
“Tapi masalahnya ada pelajar yang hanya melihat sahaja tanpa maklum balas dan kalau ditanya pun mereka tidak memberikan reaksi,” katanya lagi.
Tambah Charlotte, peratusan pelajar yang melibatkan diri juga rendah berbanding pada awal sesi pembelajaran atas talian itu dilaksanakan. – MalaysiaGazette